Selasa, 12 November 2019 | 7:57pm
WANITA hamil cedera di bahu kiri selepas kereta kancil yang dinaikinya merempuh sebuah kereta yang lain di Jalan Jejawi menghala ke Behor Pulai. NSTP/Ihsan Pembaca

Wanita hamil cedera kemalangan

KANGAR: Seorang wanita sarat mengandung dilaporkan cedera di bahu kiri selepas kereta dipandunya terbabit kemalangan di Jalan Jejawi menghala ke Behor Pulai berhampiran Institut Pendidikan Guru Perlis, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew, berkata mangsa yang juga suri rumah, Norazilla Hassan, 32, dikatakan sedang dalam perjalanan menghala ke Kangar ketika kejadian berlaku kira-kira jam 1.20 tengah hari.

“Setiba di tempat kejadian yang juga selekoh, mangsa dipercayai gagal mengawal kereta jenis Perodua Kancil yang dipandunya sehingga merempuh sebuah Perodua Viva dipandu seorang anggota tentera dari arah bertentangan.

“Akibat perlanggaran itu, kereta wanita terbabit berpusing beberapa kali sebelum terbabas ke bahagian kiri jalan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Wari berkata, wanita berasal dari Bukit Chabang, Padang Besar itu kemudian dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) menggunakan ambulans untuk mendapatkan rawatan.

“Setakat ini (hingga jam 4.00 petang tadi), kedua-dua pemandu terbabit belum membuat laporan berhubung kejadian itu.

“Bagaimanapun, anggota kami sudah menjalankan siasatan di lokasi dan kes disiasat mengikut Kaedah 10 LN 166/59,” katanya.

Berita Harian X