Rabu, 13 November 2019 | 9:08am

Dua maut, 3 cedera dalam kemalangan tujuh kenderaan di Tapah

TAPAH: Dua maut manakala tiga cedera termasuk dua parah dalam kemalangan membabitkan tujuh kenderaan di Kilometer 317.2, Lebuhraya Utara Selatan, arah selatan, dekat sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.15 malam itu, dua mangsa yang maut di tempat kejadian ialah Salwati Yaakob, 28, dan Beh Xiu Zhung, 5.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail, berkata Salwati ialah penumpang kereta Perodua Myvi manakala Xiu Zhung ialah penumpang kenderaan pacuan empat roda Mitsubishi Pajero.

“Suami Salwati berusia 28 tahun yang juga pemandu Myvi luka di tangan manakala penumpang belakang kereta itu, wanita berusia 28 tahun patah kaki kiri dan luka di tangan.

“Ibu Xiu Zhung berusia 32 tahun yang juga penumpang hadapan Pajero patah tangan kiri dan patah tulang pinggul manakala suaminya berusia 40 tahun dan seorang lagi anaknya berusia tujuh tahun tidak cedera," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Wan Azharuddin berkata, kemalangan membabitkan dua treler, Mitsubishi Pajero, Myvi, Honda Accord, Perodua Axia dan sebuah lori membawa muatan pos.

Katanya, kemalangan berlaku apabila sebuah treler muatan kertas dalam perjalanan ke ibu negara hilang kawalan dan melanggar Perodua Axia yang berada di hadapannya.

Beliau berkata, treler itu kemudian melanggar bahagian kiri Honda Accord dan bergesel dengan sebuah treler lain yang membawa muatan gula, sebelum melanggar Mitsubishi Pajero.

“Impak daripada pelanggaran itu terlalu kuat sehingga Pajero tersepit di antara dua treler berkenaan serta lori membawa barangan syarikat kurier.

“Lori syarikat kurier itu kemudian bergerak kesan daripada pelanggaran itu sebelum merempuh dari belakang Myvi yang juga turut merempuh kenderaan lain di hadapannya yang tidak dapat dipastikan jenis kenderaan itu," katanya.

Wan Azharuddin berkata, kemalangan itu berlaku ketika laluan lebuh raya berkenaan sedang sesak dengan kenderaan.

Katanya, kedua-dua mangsa yang maut dibawa ke Hospital Tapah untuk bedah siasat manakala yang cedera dihantar ke hospital sama untuk menerima rawatan.

Beliau berkata, pemandu treler muatan kertas berusia 52 tahun ditangkap untuk ujian air kencing dan mengambil sampel darah untuk dihantar ke Jabatan Kimia.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak, berkata sebaik pasukan itu tiba, pihaknya mendapati terdapat dua mangsa yang sudah tidak bernyawa tersepit di kenderaan masing-masing.

Katanya, pihaknya mengambil masa kira-kira 20 minit untuk mengeluarkan kedua-dua mangsa yang tersepit itu dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 1.48 pagi tadi.

KEMALANGAN membabitkan tujuh kenderaan di Kilometer 317.2, Lebuhraya Utara Selatan, arah selatan, malam tadi. - Foto ihsan bomba
KEMALANGAN membabitkan tujuh kenderaan di Kilometer 317.2, Lebuhraya Utara Selatan, arah selatan, malam tadi. - Foto ihsan bomba
KEADAAN kenderaan yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 317.2, Lebuhraya Utara Selatan, arah selatan, malam tadi. - Foto ihsan Bomba
KEADAAN kenderaan yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 317.2, Lebuhraya Utara Selatan, arah selatan, malam tadi. - Foto ihsan Bomba
Berita Harian X