Khamis, 14 November 2019 | 4:48pm
Penternak, M Nadarajan (kiri) didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret selepas disabitkan kesalahan menyembelih haiwan ternakannya di kawasan penyembelihan haram. - NSTP/Nur Lela Zulkipli

Penternak mengaku bersalah sembelih babi secara haram

SHAH ALAM: Seorang penternak babi didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret selepas disabitkan kesalahan menyembelih haiwan ternakannya di kawasan penyembelihan haram yang boleh mendatangkan risiko merebaknya penyakit pada 29 Januari lalu.

M Nadarajan, 47, selaku orang kena saman (OKS) mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Hanie Dzatul Akhmar Zulkefli.

Nadarajan didakwa mengikut Pindaan Kaedah 17 Kaedah-Kaedah Binatang (kawalan penyembelihan), kerana memiliki karkas babi yang tidak disembelih di rumah penyembelihan yang dilesenkan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).

OKS didakwa melakukan kesalahan itu di Kampung Baru Sungai Buloh pada jam 9.30 malam dan serbuan JPV ketika itu turut merampas sebanyak 281 kilogram (kg) daging karkas babi.

Jika sabit kesalahan OKS boleh didenda tidak lebih RM10,000.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya JPV, Tuan Anuar Sulzi Tuan Abdullah manakala OKS tidak diwakili peguam.

Tuan Anuar Sulzi meminta mahkamah mengenakan hukuman berat terhadap OKS bagi memberi pengajaran kepada penternak lain supaya tidak melakukan kesalahan sama.

“Kesalahan OKS adalah sangat serius kerana mendatangkan risiko perebakan dan jangkitan virus Zoonotik kepada orang awam.

“Bangsal yang digunakan OKS untuk menyembelih haiwan ternakannya juga didapati tidak sesuai untuk dijalankan aktiviti penyembelihan dan berada dalam keadaan yang sangat kotor,” katanya.

Difahamkan, kesalahan OKS boleh menyebabkan perebakan penyakit Zoonotik iaitu penyakit jangkitan dari haiwan kepada manusia seperti Japanese Encephalitis (JE), tibi dan Salmonellosis.

Berita Harian X