Khamis, 14 November 2019 | 8:51pm

Emak Adira disamun kerugian RM30,000

RANAU: Ibu kepada penyanyi Adira Suhaimi, kerugian kira-kira RM30,000 selepas disamun seorang lelaki yang memecah masuk rumahnya di Kampung Pinausuk, di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 5.30 pagi itu, mangsa Rujina Sarungin, 60, yang tinggal seorang diri terkejut selepas menyedari seorang lelaki yang memakai topeng berada di ruang tamu.

Lelaki terbabit kemudiannya bertindak melarikan beg tangan mangsa yang mengandungi barangan kemas dan wang tunai.

Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan Mohd Shahrul Datuk Abdul Wahab berkata, siasatan awal mendapati sebelum kejadian, mangsa sedang berehat di ruang tamu selepas selesai membasuh pakaian.

Katanya, mangsa kemudiannya pergi ke dapur untuk memasak air, namun terdengar bunyi pintu jeriji besi rumahnya dibuka.

“Sebaik keluar untuk melihat keadaan ruang tamu, mangsa terkejut selepas melihat suspek memakai jaket hitam mengambil beg tangannya yang diletakkan di atas meja.

“Mangsa cuba menahan suspek untuk merampas kembali beg tangan miliknya namun tidak berjaya,” katanya dihubungi, hari ini.

Mohd Shahrul berkata, suspek kemudiannya melarikan diri menaiki sebuah motosikal.

“Dalam kejadian itu, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan tidak sempat melihat nombor pendaftaran serta jenis motosikal yang ditunggang suspek.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian berkenaan diminta segera menghubungi polis atau tampil ke balai berhampiran,” katanya.

Berita Harian X