Jumaat, 15 November 2019 | 4:27pm

Dakwa bunuh bayi, ibu dan rakan jalani pemeriksaan mental

PUTRAJAYA: Dua rakan serumah termasuk ibu kepada bayi mangsa dera hingga meninggal dunia, diperintahkan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak.

Perintah dikeluarkan Majistret Shah Wira Abdul Halim terhadap Nor Aisyah Mohd Yunus, 37, yang bekerja sebagai pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan rakan serumahnya, Nor Aisyah Ibrahim, 33, yang bekerja sebagai Pegawai Pendidikan Islam, Kementerian Pendidikan.

Mahkamah memerintahkan perkara itu mengikut Seksyen 342 Kanun Prosedur Jenayah bagi membolehkan kedua tertuduh menjalani pemeriksaan di hospital berkenaan.

Terdahulu, ketika pertuduhan dibacakan, dua tertuduh mengangguk faham dan pengakuan direkodkan.

Mengikut kertas pertuduhan, kedua-dua tertuduh secara bersama membunuh seorang bayi, Muhammad Alfateh Hamdi, 23 bulan, di Blok D, Jalan P5A/5, Presint 5, di sini, di antara pertengahan bulan September sehingga 4 November lalu.

Berikutan itu, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama. Sabit kesalahan, membawa hukuman mati.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Zulaaikha Mohd Apandi yang memohon mahkamah tidak membenarkan ikat jamin.

Bagaimanapun, peguam tertuduh pertama, Najib Zakaria, memohon mahkamah membenarkan Nor Aisyah yang mempunyai sejarah keluarga iaitu ibunya disahkan mempunyai penyakit mental jenis meroyan dinilai oleh pakar hospital mental.

“Tertuduh kedua (Nor Aisyah) yang diwakili peguam Hamdan Hamzah turut memohon dinilai pakar mental kerana Nor Aisyah mengalami stres teruk dengan seorang adik-beradiknya mempunyai penyakit mental,” katanya yang mewakili Hamdan.

Mahkamah menetapkan 18 Disember ini sebagai tarikh sebutan semula dan penyerahan dokumen dari pakar terbabit.

Isnin lalu, sepasang suami isteri ditahan susulan kematian bayi lelaki mereka berusia setahun 11 bulan pada 4 November, dipercayai didera dengan lebih 80 kesan lebam, lecur dan calar baru serta lama ditemui di seluruh badan mangsa.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali, berkata pasangan berusia 42 dan 37 tahun yang menetap di Sungai Merab itu ditahan di pekarangan Hospital Serdang, Selasa lalu.

Polis turut menahan seorang wanita yang juga rakan serumah ibu mangsa di Putrajaya, Jumaat lalu, dan ketiga-tiga suspek terbabit adalah penjawat awam.

Berita Harian X