Sabtu, 16 November 2019 | 12:14am
ANJING liar yang berjaya ditangkap ketika operasi tangkap anjing liar di Bandar Springhill. - Foto Mohd Khidir Zakaria

Cedera digigit anjing liar

PORT DICKSON: Seorang kanak-kanak berusia enam tahun cedera selepas digigt anjing liar ketika menunggu kelas dibuka di Sekolah Agama Rakyat (SAR) Haji Awaluddin, Batu 7, di sini petang tadi.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed, berkata kejadian kira-kira jam 2.20 petang itu disedari seorang guru yang kemudian menghubungi polis bagi meminta bantuan.

“Susulan panggilan diterima, pihak polis bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati ia berlaku di dalam kawasan sekolah terbabit.

“Mangsa iaitu seorang murid SAR berusia enam tahun mengalami kecederaan selepas digigit di bahagian leher serta tangan dan sudah dibawa ke Hospital Port Dickson untuk menerima rawatan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini malam tadi.

Katanya, hasil siasatan pihak polis mendapati, anjing itu dipercayai selalu masuk ke dalam kawasan sekolah itu.

“Pihak polis kemudian memaklumkan kejadian kepada Bahagian Penguatkuasa Majlis Daerah Port Dickson (MPPD) dan dimaklumkan bahawa tindakan segera akan diambil.

“Mangsa dalam keadaan stabil dan di tahan di wad hospital” katanya.

Berita Harian X