Sabtu, 16 November 2019 | 11:27am
Kapal tunda yang ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) di perairan Tungku, Lahad Datu. - Foto ihsan PPM
Kapal tunda yang ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) di perairan Tungku, Lahad Datu. - Foto ihsan PPM

PPM rampas 1,100kg ikan, tahan nelayan disyaki langgar syarat lesen

LAHAD DATU: Pasukan Polis Marin (PPM) merampas sejumlah 1,100 kilogram (kg) ikan pelbagai jenis dianggarkan bernilai RM5,500 dalam Ops Gelora di perairan Tungku, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi, sekumpulan nelayan turut ditahan kerana disyaki melanggar syarat lesen perikanan dengan memukat kurang tiga batu nautika dari persisiran pantai.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali, berkata sebuah kapal jenis pukat tunda dinaiki tujuh nelayan, termasuk juragan, ditahan ketika sepasukan anggotanya menjalankan operasi di kawasan berkenaan.

“Hasil pemeriksaan mendapati juragan sedang leka menangkap ikan di kawasan perairan Tungku pada jarak kurang tiga batu nautika dari persisiran pantai.

“Pemeriksaan lanjut turut menemui pelbagai jenis ikan dianggarkan bernilai RM5,500 dipercayai hasil kegiatan memukat di kawasan terbabit,” katanya dalam satu kenyataan media.

Antara nelayan yang ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) di perairan Tungku, Lahad Datu. - Foto ihsan PPM
Antara nelayan yang ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) di perairan Tungku, Lahad Datu. - Foto ihsan PPM

Beliau berkata, semua nelayan berusia antara 40 hingga 43 tahun itu ditahan, manakala kapal dan ikan dirampas serta dibawa ke pos Merabung.

“Tangkapan dan rampasan akan diserahkan kepada Jabatan Perikanan untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat lesen,” katanya.

Mohamad Pajeri menegaskan, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap kesalahan dilakukan kapal nelayan pukat tunda.

Beliau berkata, ini kerana aktiviti kapal jenis itu menangkap ikan berhampiran persisiran pantai adalah sangat berbahaya.

“Bukan saja memberi kesan terhadap nelayan kecil tetapi juga ekosistem ikan dan batu karang.

“Justeru, masyarakat disaran sentiasa memberikan maklumat kepada PPM berhubung aktiviti menyalahi undang-undang yang dilakukan nelayan dengan menghubungi Gerakan PPM Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah melalui talian 088-454819,” katanya.

Berita Harian X