Sabtu, 16 November 2019 | 4:17pm
MPV milik Prabakaran dibaling telur ketika diletakkan di kawasan parkir kereta di sebuah restoran di Jalan Ipoh, malam tadi.
MPV milik Prabakaran dibaling telur ketika diletakkan di kawasan parkir kereta di sebuah restoran di Jalan Ipoh, malam tadi.
MPV milik Prabakaran dibaling telur ketika diletakkan di kawasan parkir kereta di sebuah restoran di Jalan Ipoh, malam tadi.
MPV milik Prabakaran dibaling telur ketika diletakkan di kawasan parkir kereta di sebuah restoran di Jalan Ipoh, malam tadi.

Kereta Ahli Parlimen Batu dibaling telur

KUALA LUMPUR: Kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran, dibaling telur ketika diletakkan di kawasan parkir kereta di sebuah restoran di Jalan Ipoh, malam tadi.

Kejadian itu disedari Prabakaran pada jam 12.45 tengah malam selepas bertemu dengan tiga kenalannya di restoran berkenaan.

“Saya memang biasa ke restoran itu untuk mengadakan pertemuan dengan sesiapa saja mengenai urusan kerja sebelum menjadi Ahli Parlimen Batu lagi.

“Malam tadi, saya berjumpa dengan tiga kenalan dan berada di restoran sejak jam 10.30 malam, manakala pemandu saya sudah pulang ke rumah selepas meletakkan kereta saya di kawasan parkir berkenaan.

“Saya keluar dari restoran kira-kira jam 12.40 malam dan sebaik sampai di kereta saya, saya nampak banyak serpihan kulit telur bertaburan di bahagian belakang kereta,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, telur berkenaan dibaling pada bahagian cermin belakang, bumbung dan bahagian cermin hadapan.

Laporan polis turut dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul pada jam 1.30 pagi.

“Laporan dibuat kerana saya khuatir mengenai keselamatan saya serta ahli keluarga saya, setakat ini saya tidak mengesyaki sesiapa dan tidak pasti adakah bermotifkan politik,” katanya.

Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran. - NSTP/Aziah Azmee
Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran. - NSTP/Aziah Azmee

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner, S Shanmugamoorthy Chinniah, mengesahkan menerima laporan berkenaan.

“Kita sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian berkenaan, masih belum ada sebarang tangkapan yang dibuat.

“Kertas siasatan kita buka mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kedudukan Prabakaran sebagai Ahli Parlimen Batu hangat diperkatakan selepas 14 badan bukan kerajaan (NGO) mencadangkan supaya beliau mengosongkan kerusi itu bagi memberi laluan kepada Naib Presiden PKR, Tian Chua bertanding semula di kawasan berkenaan.

Cadangan itu susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 6 November lalu yang membuat ketetapan pelucutan hak pencalonan Tian Chua sebagai calon pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) adalah tidak sah, sekali gus layak bertanding dalam mana-mana pilihan raya.

BH kemudian melaporkan, Prabakaran menegaskan beliau tidak akan mengosongkan kerusi Parlimen itu dan akan terus berkhidmat kepada rakyat secara telus dan adil walaupun menerima desakan daripada pihak tertentu supaya melepaskan jawatan.

Berita Harian X