Ahad, 17 November 2019 | 12:15am

Meninggal dunia di tepi jalan akibat serangan jantung

SUNGAI PETANI: Seorang guru ditemui meninggal dunia akibat serangan jantung di tepi Jalan Sungai Lalang, di sini tengah hari tadi.

Mayat Ahmad Nizam Othman, 51, ditemui oleh seorang pemilik kedai tambah nilai yang berniaga di kawasan berhampiran kira-kira 12.30 tengah hari sebelum menghubungi polis.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah, berkata mayat guru berkenaan ditemui dalam keadaan terbaring berhampiran basikalnya di kawasan terlindung daripada pandangan orang ramai.

“Menurut isterinya, mangsa memaklumkan ingin membuat kayuhan basikal di Surau Taman Perdana, di sini kira-kira 7.30 pagi tadi.

“Mangsa dikatakan pulang semula ke rumahnya di Taman Seroja, Bedong dengan mengayuh basikal bersendirian sebelum keluar semula,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Adzli berkata, tiada sebarang kecederaan secara fizikal atau unsur jenayah yang ditemui pada mangsa dan mayat mangsa ditemui kira-kira tiga meter dari rumahnya.

Beliau berkata, difahamkan mangsa pernah mendapatkan rawatan bagi penyakit strok ringan.

Katanya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Berita Harian X