Isnin, 18 November 2019 | 3:04pm
MAQIS Pulau Pinang menggagalkan cubaan membawa masuk daging kerbau dari India tanpa mematuhi syarat Permit Import. - Ihsan MAQIS
MAQIS Pulau Pinang menggagalkan cubaan membawa masuk daging kerbau dari India tanpa mematuhi syarat Permit Import. - Ihsan MAQIS

Logo halal meragukan, 10 kontena daging kerbau dirampas

BUTTERWORTH: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Pulau Pinang merampas 10 kontena daging kerbau dari India bernilai RM3.5 juta yang cuba dibawa masuk melalui Pengkalan Kontena Butterworth Utara (NBCT) di sini, baru-baru ini.

Pengarah MAQIS Pulau Pinang, Zarina Ramli, berkata semua kontena daging kerbau yang tidak mematuhi syarat Permit Import itu cuba dibawa masuk secara berperingkat sejak 22 Oktober sehingga 14 November lalu.

Beliau berkata, semakan pihaknya mendapati logo halal yang digunakan pada pembungkusan dalaman dan luaran produk daging adalah berbeza, malah ia bukan logo daripada institusi yang diiktiraf Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“Hasil pemeriksaan yang dilakukan mendapati terdapat 10 kontena yang dihantar dari dua syarikat yang berpangkalan di India.

“Jumlah berat dagangan keseluruhan daging kerbau sejuk beku sebanyak 13,991 kotak itu dianggarkan 279.9 tan dengan nilai RM3.5 juta,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, MAQIS Pulau Pinang mengeluarkan kompaun terhadap kedua-dua syarikat itu, selain peringatan atas kesalahan mengimport tanpa mematuhi syarat import yang sah.

“Perkara itu disiasat mengikut Seksyen 15(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 15(2) akta sama.

“Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Berita Harian X