Selasa, 19 November 2019 | 11:09pm

`Datuk' ditahan tawar kad pekerja asing palsu

KUALA LUMPUR: Seorang pengarah sebuah agensi pekerjaan bergelar ‘Datuk’ ditahan kerana disyaki menawarkan kad pekerja asing palsu dalam serbuan di sebuah hotel, di sini hari ini.

Serbuan kira-kira jam 3.30 petang itu dilakukan Jabatan Imigresen dengan kerjasama Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), bertindak atas maklumat risikan.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud, berkata tujuh warga tempatan dan seorang warga Indonesia turut ditahan bersama pelbagai dokumen menggunakan nama Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Imigresen yang disyaki palsu.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati agensi pekerjaan itu menjalankan aktiviti pendaftaran kad untuk warga asing dikenali sebagai Malaysian Clarification Authority Card (MCAC) dengan menggunakan nama KDN dan jabatannya.

“Agensi ini mensasarkan warga asing yang berstatus pendatang tanpa izin untuk mendaftar dengan mereka dan mendapatkan kad MCAC yang didakwa berfungsi sebagai ‘permit kerja’ dan boleh bekerja di mana-mana sektor,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Beliau berkata, pendatang asing tanpa izin (PATI) perlu membayar RM4,000 sebagai wang pendahuluan sebelum menjalani temuduga yang didakwa dikendalikan oleh pegawai KDN dan pihak Imigresen.

Katanya, dalam tempoh tiga hingga enam bulan selepas melalui fasa temuduga, PATI dikatakan akan melalui proses tapisan PDRM untuk tujuan pemeriksaan rekod jenayah.

“Selepas semua proses itu selesai, PATI perlu membayar baki RM4,500 lagi bagi melengkapkan urusan dan mendapatkan kad MCAC yang sudah siap,” katanya.

Khairul Dzaimee berkata, kesemua yang ditahan dibawa ke pejabat Jabatan Imigresen Kuala Lumpur untuk disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Agensi Pekerjaan Swasta. – BERNAMA

Berita Harian X