Rabu, 20 November 2019 | 6:21pm
Raja Petra Kamaruddin.

Guan Eng mohon injuksi halang Raja Petra keluar kenyataan fitnah

KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, mengemukakan tindakan undang-undang terhadap Raja Petra Kamaruddin, dengan memohon injuksi bagi menghalang penulis blog itu daripada terus mengeluarkan kenyataan fitnah terhadapnya.

Writ saman dan pernyataan tuntutan itu dilaksanakan melalui notis penyampaian pengiklanan yang difailkan Tetuan Simon Murali & Co bagi pihak Guan Eng.

Melalui notis pengiklanan itu, Guan Eng selaku plaintif memohon injuksi larangan untuk mencegah dan menghalang Raja Petra (defendan) daripada mengeluarkan pernyataan fitnah.

Guan Eng turut memohon injuksi mandatori, menghendaki Raja Petra menerbitkan permohonan maaf kepada plaintif dalam tempoh tujuh hari yang diterbitkan di muka surat pertama New Straits Times, Sin Chew Daily, Berita Harian dan The Star.

Plaintif turut memohon defendan membayar ganti rugi am, termasuk ganti rugi teruk dan teladan, faedah serta kos.

Penyampaian writ dan tuntutan bertarikh 6 September 2019 terhadap defendan dilaksanakan melalui penyampaian pengiklanan itu dengan menampal salinan dokumen dan perintah penyampaian ganti di papan notis Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Berita Harian X