Jumaat, 22 November 2019 | 6:24pm
KETUA Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas. NSTP/Ihsan IPD TAWAU

Hentikan perkongsian, penyebaran video kes rogol

TAWAU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan kewujudan rakaman video dikaitkan dengan kejadian seorang pelajar perempuan tingkatan dua dirogol sekumpulan tujuh pelajar tingkatan lima di sebuah sekolah menengah di daerah ini yang tular di laman sosial.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas, berkata pihaknya banyak menerima banyak aduan daripada orang ramai berhubung rakaman video berkenaan yang dikesan mula tersebar sejak dua hari lalu dan kes berkenaan sedang dipantau rapi.

Malah, beliau turut memberi amaran kepada orang ramai supaya berhenti menyebarkan rakaman video berkenaan atau berdepan tindakan undang-undang.

“Jika ada orang awam atau mana-mana individu didapati menyebarkan rakaman video itu, tindakan boleh diambil mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Bagi mereka yang memiliki video itu pula, segeralah memadamkannya kerana boleh didakwa mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan atas kesalahan memiliki bahan lucah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis (IPD) Tawau, di sini hari ini.

Sementara itu, beliau meminta kerjasama semua pihak supaya tidak menganggu siasatan polis, termasuk suspek dan saksi yang ketika ini masih menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi, Jumaat lalu, mangsa ditemui seorang guru dalam keadaan trauma dan separuh bogel di sebuah bilik di sekolahnya.

Mangsa kemudian memaklumkan dia dirogol oleh dua daripada tujuh suspek, manakala empat suspek lagi bertindak melakukan seks oral dan seorang rakan mereka hanya melihat perbuatan itu.

Kesemua suspek ditahan pada hari sama susulan laporan polis dibuat ibu mangsa, seterusnya direman bagi membantu siasatan, manakala mangsa dihantar ke Hospital Tawau untuk tujuan pemeriksaan.

Bagaimanapun, ketujuh-tujuh suspek dibebaskan dengan jaminan polis sebaik saja tempoh reman tamat pada Ahad lalu bagi membolehkan mereka menduduki SPM yang akan berakhir 28 November ini.

Berita Harian X