Rabu, 27 November 2019 | 2:06pm

Bangsal lembu di Bukit Beruntung jadi makmal dadah

GOMBAK: Polis menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah, selepas menahan 11 individu dalam serbuan terhadap sebuah bangsal ternakan lembu dan ikan yang menjadi tempat memproses bahan itu di Bukit Beruntung dekat Hulu Selangor di sini, semalam.

Dalam serbuan bermula jam 12.20 tengah hari itu, polis menahan 10 lelaki termasuk tiga orang warga Indonesia, India dan Myanmar dan seorang wanita warga tempatan. Semua suspek berusia di antara 34 hingga 53 tahun.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd, berkata hasil serbuan itu, polis merampas dadah jenis heroin dan kaffein, masing-masing seberat 15.97 kilogram (kg) dan 28.8 kg, dengan nilai keseluruhan RM222,960.

Beliau berkata, polis turut menyita tiga kenderaan bernilai RM33,000 sebagai bahan bukti siasatan.

“Serbuan terhadap bangsal itu dibuat hasil risikan polis sejak sebulan lalu.

“Siasatan lanjut mendapati sindiket itu aktif sejak tahun lalu dengan menjadikan kawasan penternakan lembu dan ikan terbabit sebagai tempat memproses dadah berikutan lokasi berkenaan terletak di kawasan terpencil.

“Individu ditahan termasuk pakar kimia tidak bertauliah yang mempelajari kaedah memproses dadah menerusi kenalan ketika berada di dalam penjara sebelum ini.

“Bahan kimia yang dirampas boleh digunakan bagi menghasilkan dadah untuk tempoh lima bulan. Bahan digunakan itu diseludup dari luar negara,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Khalil berkata, ujian saringan air kencing terhadap kesemua suspek mendapati masing-masing negatif dadah.

“Empat daripada suspek itu disahkan mempunyai rekod jenayah lampau.

“Kesemua mereka direman selama tujuh hari berakhir 3 Disember ini mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata pihaknya menangkap 334 tokan dadah menerusi Op Damn Tokan 4.0 di seluruh negara, semalam.

“Setakat ini, kita sudah jalankan empat siri operasi itu dengan penahanan 1,804 individu.

“Polis akan terus giat membanteras aktiviti dan gejala dadah secara menyeluruh di negara ini,” katanya.

Tamat...

Mohd Khalil (empat dari kanan) menunjukkan kafein antara bahan untuk dijadikan dadah jenis heroin pada sidang media di IPD Gombak. - NSTP/Owee Ah Chun
Mohd Khalil (empat dari kanan) menunjukkan kafein antara bahan untuk dijadikan dadah jenis heroin pada sidang media di IPD Gombak. - NSTP/Owee Ah Chun

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X