Selasa, 3 Disember 2019 | 7:25pm

7 ditahan disyaki terbabit 'Macau Scam'

KUALA LUMPUR: Polis menahan lima lelaki dan dua wanita warga tempatan yang disyaki terbabit dengan sindiket ‘Macau Scam’ di sebuah hotel bajet di Kepong di sini.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner S Shanmugamoorthy Chinniah, berkata serbuan pada Khamis lalu itu susulan siasatan terhadap laporan diterima daripada seorang wanita yang kerugian kira-kira RM33,000 selepas ditipu pada 19 November lalu.

Beliau berkata, sindiket itu menjalankan operasi di bilik sewa hotel berkenaan dan dipercayai aktif sejak tiga bulan lalu.

“Sindiket ini menggunakan ‘Voice Over Internet Protocol’ (VOIP) untuk melakukan penipuan melalui telefon dan mengatakan mangsa mempunyai hutang yang perlu diselesaikan dengan pihak bank,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di sini, hari ini.

Beliau berkata, polis turut merampas kertas yang mengandungi skrip percakapan untuk menipu mangsa selain telefon bimbit dan komputer riba dalam serbuan itu.

Semua suspek yang ditahan berusia 25 hingga 30 tahun dan polis masih mencari saki-baki ahli sindiket berkenaan yang masih bebas. - BERNAMA

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner S Shanmugamoorthy Chinniah (dua dari kiri) menunjukkan skrip menipu mangsa selepas sidang media mengenai kejayaan tangkapan dan rampasan membabitkan ahli sindiket penipuan ‘Macau Scam’ di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, Kuala Lumpur. - NSTP/Azhar Ramli

Berita Harian X