Jumaat, 6 Disember 2019 | 2:44pm

Hilang tiga ahli keluarga dalam sekelip mata

KLANG: Tiga sekeluarga maut, seorang melecur teruk manakala tiga lagi terselamat selepas rumah didiami musnah dalam kebakaran di Jalan Binjai, Pandamaran, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, tiga mangsa yang maut dikenali sebagai Pua Yoke Moi, 70; Soon See Eng, 54; dan Ang Kar Hian, 22.

Yoke Moi adalah ibu mentua kepada See Eng, manakala Kar Hian, adalah anak lelaki kepada See Eng.

Tiga mangsa lagi yang terselamat ialah Ang Cheng Kiat, 55; Ang Kar Chun, 27; dan Ang Kam Siew, 30.

Kejadian itu turut menyebabkan Cheng Kiat iaitu suami kepada mangsa yang maut iaitu See Eng, melecur hampir 50 peratus selepas terperangkap di bahagian belakang rumah namun berjaya diselamatkan oleh dua anaknya.

Difahamkan, ketika kejadian, Kam Siew baru pulang daripada kerja dan belum tidur ketika api dipercayai mula marak dan membakar rumah kayu didiami mereka.

Saksi kejadian yang enggan dikenali berkata, dia melihat Kam Siew dan adik lelakinya, Kar Chin meluru keluar dari pintu sebelah tepi kanan kediaman berkenaan.

“Api sudah marak membakar bahagian depan rumah. Saya lihat dua beradik itu berlari keluar manakala jiran belakang rumah mereka cuba menghulurkan tangga untuk mereka keluar sebab kediaman itu dikelilingi pagar yang tinggi.

“Mereka berdua dilihat masuk ke dalam rumah dan membawa keluar bapa mereka yang sudah melecur pada badannya.

“Jiran-jiran tidak mampu berbuat apa-apa kerana kediaman itu berpagar dan berkunci, selain api sudah terlalu marak,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Mayat Kar Hian yang juga orang kelainan upaya (OKU) ditemui di dalam bilik depan bersama ibunya, See Eng manakala Yoke Moi di dalam bilik belakang berhampiran dapur.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor, berkata pihaknya dapat mengawal api pada jam 3.30 pagi dan pemadaman sepenuhnya dilakukan sejam kemudian.

Setiba di lokasi, katanya, api sudah marak manakala tiga mangsa sudah berjaya menyelamatkan diri.

“Turut terbakar, sebuah kediaman bersebelahan rumah ini namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan berikutan penghuninya tiada di rumah ketika kejadian,” katanya.

Dalam kebakaran itu, tiga kenderaan milik mangsa yang diletakkan di halaman rumah turut hangus terbakar.

ANGGOTA bomba menyiasat punca kebakaran sebuah rumah di Jalan Binjai, Pandamaran, Klang, awal pagi tadi. - Foto BERNAMA
ANGGOTA bomba menyiasat punca kebakaran sebuah rumah di Jalan Binjai, Pandamaran, Klang, awal pagi tadi. - Foto BERNAMA
Berita Harian X