Jumaat, 6 Disember 2019 | 3:57pm
FOTO hiasan.

RM40,000 untuk bayar gaji dirompak 2 lelaki

ISKANDAR PUTERI: Seorang kontraktor berputih mata apabila wang tunai RM40,000 untuk membayar gaji pekerja yang baharu dikeluarkan daripada sebuah bank di sini, dirompak dua lelaki di Taman Nusantara, Gelang Patah, petang semalam.

Dalam kejadian jam 3.30 petang itu, mangsa berusia 32 tahun itu sedang berjalan menuju ke kenderaannya yang diletakkan di kawasan parkir lot kedai di situ selepas selesai membuat pengeluaran wang tunai berkenaan.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar, berkata mangsa tiba-tiba didatangi dua lelaki tidak dikenali ketika mahu memasuki keretanya.

“Seorang suspek turun dari motosikal dan menghalang serta menahan mangsa dari memasuki keretanya.

“Secara tiba-tiba seorang daripada suspek mengeluarkan objek menyerupai pisau dan mengacukannya ke arah mangsa sebelum mengarahkannya mengeluarkan semua wang serta barang dalam beg sandangnya.

“Bimbang dicederakan mangsa mengeluarkan semua barang dalam beg sandang itu.

“Suspek terus merampas beg sandang mangsa serta menarik rantai emas yang dipakai mangsa dan terus melarikan diri dengan menaiki motosikal terbabit,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Dzulkhairi berkata, antara barang yang dilarikan dua perompak berkenaan adalah beg duit, kad pengenalan, lesen memandu, dua kad bank, dua kad kredit serta wang tunai RM40,000.

“Mangsa tidak cedera ketika kejadian. Bagaimanapun, tiada saksi nampak kejadian itu namun rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian akan diteliti.

“Polis kini giat menjalankan usaha mengesan dan menahan suspek dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana rompak bersenjata,” katanya.

Berita Harian X