Jumaat, 6 Disember 2019 | 11:40pm
Naib Presiden PKR, Mohd Rafizi Ramli. - NSTP/Syarafiq Abd Samad
Naib Presiden PKR, Mohd Rafizi Ramli. - NSTP/Syarafiq Abd Samad

Buka kes, siasat pihak keluarga bekas menteri - Rafizi

KUALA LUMPUR: “Buka kes dan siasat pihak keluarga bekas menteri.”

Itu reaksi Naib Presiden PKR, Mohd Rafizi Ramli, kepada tindakan Jabatan Peguam Negara (AG) memfailkan rayuan terhadap pembebasannya daripada pertuduhan mengikut Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan (BAFIA) kerana mendedahkan akaun bank berkaitan National Feedlot Corporation (NFC).

Menerusi Twitter beliau, Mohd Rafizi turut memuat naik notis menghadiri bicara di Bilik Pengurusan Kes Aras 2, Istana Kehakiman Jenayah, pada jam 9 pagi Isnin ini.

“Saya dimaklumkan Peguam Negara merayu untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi dalam kes NFC yang membebaskan saya dan saudara Johari (bekas kerani bank, Johari Mohamad).

“Saya harap Peguam Negara bersungguh-sungguh juga membuka kes dan siasat pihak keluarga bekas menteri. Hingga sekarang, seorang pun belum didakwa,” katanya.

Sebuah portal berita melaporkan, peguam Rafizi, Nik Zarith Nik Moustpha, sebagai berkata pasukan pembelaan diberitahu mengenai rayuan itu, hari ini, menerusi e-mel daripada Pendaftar Mahkamah Rayuan.

Peguam, Zaid Malek yang mewakili Johari yang dituduh bersekongkol dengan Rafizi, juga dilapor mengesahkan mereka dimaklumkan pendaftar mahkamah mengenai rayuan itu.

Pada 15 November lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam melepaskan dan membebaskan Rafizi dengan membatalkan sabitan mendedahkan akaun bank berkaitan NFC, anak syarikatnya dan Pengerusi, Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail.

Berita Harian X