Ahad, 8 Disember 2019 | 7:01am
Antara individu yang ditahan dalam serbuan pesta liar di sebuah kondominium di Jalan Sungai Besi. - Ihsan PDRM
Antara individu yang ditahan dalam serbuan pesta liar di sebuah kondominium di Jalan Sungai Besi. - Ihsan PDRM

Polis Brickfields serbu pesta liar

KUALA LUMPUR: Penganjuran satu pesta liar di sebuah kondominium di Jalan Sungai Besi, Brickfields, di sini, berjaya dihidu Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields, semalam.

Hasilnya, dalam serbuan yang dilakukan pada jam 1.52 tengah hari itu seramai tujuh individu ditahan termasuk seorang penganjur pesta terbabit.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Zairulnizam Mohd [email protected], berkata mereka yang ditahan adalah empat lelaki dan tiga wanita termasuk dua warga asing, semuanya berusia 20 hingga 45 tahun.

Turut dirampas, beberapa jenis dadah disyaki syabu seberat 10.3 gram, ketamin seberat 4.1 gram dan ganja seberat 2.2 gram.

“Hasil ujian saringan air kencing terhadap semua suspek mendapati mereka positif dadah.

“Siasatan awal juga mendapati salah seorang dari individu yang ditahan itu adalah penganjur yang bertanggungjawab mengajak semua peserta melalui aplikasi WhatsApp,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Zairulnizam berkata, individu yang ditahan itu didapati berkongsi wang bagi membayar sewa kondominium berharga RM350 sehari.

“Tempahan sewa kondominium dibuat melalui panggilan telefon dan pembayaran dilakukan menggunakan transaksi perbankan dalam talian.

“Semua individu terbabit ditahan di lokap Jinjang bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39A(1) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Berita Harian X