Isnin, 9 Disember 2019 | 11:00am
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hadir membela diri dalam kes skandal SRC International Sdn Bhd di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

Tutup satu akaun, buka tiga lagi - Najib

KUALA LUMPUR: Akaun AmBank milik Datuk Seri Najib Razak yang berakhir dengan nombor 694 ditutup sebelum tiga lagi akaun bank sama berakhir dengan nombor 880, 906 dan 898 dibuka selepas dicadangkan Setiausaha Sulitnya, Allahyarham Datuk Azlin Alias.

Allahyarham Azlin mencadangkan akaun berbeza dibuka supaya sumbangan derma yang diterima bekas perdana menteri itu dapat diurus dengan lebih baik dan cadangan berkenaan dipersetujui Najib.

Menjelaskan perkara itu, Najib berkata, beliau berniat menghantar semula sejumlah besar dana yang tidak digunakan kepada penderma dan perkara itu dipersetujui Allahyarham Azlin selepas mereka mengadakan perbincangan.

“Bagi menguruskan sumbangan dan perbelanjaan dengan lebih baik berkaitan tanggungjawab sosial korporat (CSR), Datuk Azlin mencadangkan akaun baharu dibuka dan baki dana digunakan sebagai dana permulaan untuk akaun baharu itu.

“Ia dilakukan selepas saya dimaklumkan terdapat beberapa pihak akan memberi sumbangan lanjut kepada saya secara peribadi.

“Ia juga adalah lanjutan daripada sumbangan yang saya lakukan kepada politik, sosial dan program CSR bagi tujuan kebajikan dari 2011 hingga 2013,” katanya.

Najib yang membacakan pernyataan saksinya dalam keterangan bela diri terhadap tujuh pertuduhan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd, mengakui menandatangani dan memulangkan borang pembukaan akaun yang diserahkan Azlin.

Bagaimanapun, beliau tidak mengetahui sekiranya Azlin ada berurusan dengan bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC, Datuk Nik Faisal Ariff Kamil, berhubung pembukaan akaun baharu.

“Nik Faisal bertanggungjawab untuk membuka ketiga-tiga akaun itu.

“Apa yang saya faham hasilnya, akaun semasa berikut dibuka pada Ogos 2013 selepas ditandatangani pada Julai 2013 seperti yang tertera di dalam borang,” katanya.

Menjawab soalan sama ada beliau pernah menghubungi ahli perniagaan, Low Taek Jho bagi berbincang hal berkaitan pembukaan tiga akaun baharu, Ahli Parlimen Pekan itu menjawab: “Tidak sama sekali.”

Pada perbicaraan di peringkat pendakwaan, Pengurus Perhubungan AmBank, Joanna Yu Ging Ping dalam keterangannya, berkata Taek Jho atau Jho Low memberitahunya tiga akaun baharu akan dibuka.

Najib terkejut mengapa pihak bank (Joanna) berurusan dengan Jho Low sedangkan ahli perniagaan dikehendaki polis itu tidak pernah diberi kuasa berhubung dengan bank berkaitan dengan akaunnya.

“Saya tidak diberitahu mengenai Jho Low mengarahkan Joanna Yu mendapatkan kelulusan bagi menggunakan nama lain untuk ketiga-tiga akaun.

“Saya tidak tahu dan buku cek yang diterima tidak menunjukkan nama akaun. Saya tidak tahu kenapa pihak bank mengambil arahan daripada seseorang yang tidak diberikan kuasa oleh saya untuk berurusan dengan akaun saya,” katanya.

Najib sememangnya terkejut apabila mengetahui pihak bank berurusan dengan Jho Low sedangkan pemberian kuasa bertulis diberikan kepada Nik Faisal.

Najib menjelaskan tidak pernah dimaklumkan tiga pegawai AmBank iaitu Joanna, Daniel Lee dan Krystal Yap dilantik sebagai pengurus perhubungan bagi akaun 880, 906 dan 898 miliknya.

Beliau bagaimanapun mengetahui Nik Faisal mempunyai kuasa menguruskan semua akaunnya seperti dimaklumkan Allahyarham Azlin.

Berita Harian X