Isnin, 9 Disember 2019 | 7:44pm
ANTARA hasil pertanian yang dirampas Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Durian Burung. - Foto ihsan MAQIS

Lebih 400kg hasil pertanian tanpa dokumen sah dirampas

PADANG TERAP: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) merampas lebih 400 kilogram (kg) hasil pertanian yang dibawa masuk dari negara jiran tanpa dokumen sah di Durian Burung, di sini, Khamis lalu.

Rampasan kira-kira jam 12.30 tengah hari itu membabitkan 240kg mangga, 60kg cili besar, 60kg lengkuas, 20kg limau nipis, 20kg ubi keledek dan 10kg serai yang dibawa menggunakan sebuah lori.

Pengarah MAQIS Kedah, Lily Rosalind, berkata semua hasil pertanian itu adalah keluaran negara jiran dan hasil pemeriksaan mendapati ia dibawa masuk tanpa dokumen sah seperti permit import serta sijil fitosanitasi dari negara asal.

“Perbuatan mengimport keluaran pertanian tanpa permit sah adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Akta 728) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 11(3).

“Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau menjelaskan, penahanan konsainan (barang rampasan) berkenaan adalah bagi mengekang kemasukan serangga perosak, terutama yang ada pada mangga, iaitu kumbang pengorek buah (sternochetus mangiferae).

“Sekiranya serangga perosak itu terlepas ke negara ini, ia boleh menyebabkan industri pertanian terjejas dan mendatangkan kerugian kepada pengusaha tanaman pertanian jika tidak dikawal,” katanya.

Lily berkata, Akta 728 diguna pakai bagi memastikan kawalan penyakit haiwan/ikan/tumbuhan dan jaminan keselamatan makanan mematuhi aspek kesihatan manusia, selain dapat mengawal kemasukan perosak berbahaya yang boleh mengancam industri pertanian negara.

“Konsainan yang disita akan dilupuskan mengikut prosedur operasi piawai yang ditetap bagi memastikan risiko kemasukan penyakit dapat dicegah.

“Nilai rampasan masih dalam siasatan dan tiada tangkapan dilakukan berhubung kes ini,” katanya.

Berita Harian X