X
Isnin, 9 Disember 2019 | 9:36pm
BEKAS Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali
BEKAS Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali

Kes SRC International: Bekas Peguam Negara akan dipanggil sebagai saksi pembelaan

KUALA LUMPUR: Bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali akan dipanggil sebagai saksi pihak pembelaan dalam perbicaraan kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta dihadapi Datuk Seri Najib Razak.

Mohamed Apandi dilantik sebagai Peguam Negara pada 27 Julai 2015 sehingga 4 Jun 2018, menggantikan Tan Sri Abdul Gani Patail yang ditamatkan perkhidmatan atas sebab-sebab kesihatan.

Pada 21 Julai 2016, beliau dilaporkan membuat kenyataan bahawa tidak ada sebarang bukti daripada mana-mana penyiasatan bagi menunjukkan bahawa wang daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) telah disalahguna dan tidak ada sebarang tuduhan jenayah ditekankan terhadap mana-mana individu untuk 'kesalahan penyalahgunaan wang daripada 1MDB'.

Pada prosiding sebelah petang di Mahkamah Tinggi, Najib yang membaca jawapan dari kenyataan saksi, berkata beliau masih berpegang terhadap kenyataan media Mohamed Apandi yang membebaskannya daripada salah laku membabitkan SRC International.

DATUK Seri Najib Razak ketika ditemui di Mahkamah Kuala Lumpur. - Foto Muhd Zaaba Zakeria
DATUK Seri Najib Razak ketika ditemui di Mahkamah Kuala Lumpur. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

Berikutan itu, peguam tertuduh, Wan Aizuddin Wan Mohammed memohon mahkamah menandakan kenyataan media bekas Peguam Negara itu sebagai eksibit, namun dibantah Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Seri V Sithambaram atas hujah pengeluar dokumen itu tidak hadir di mahkamah untuk membuktikan kebenaran dokumen berkenaan.

Wan Aizuddin kemudian memberitahu mahkamah bahawa pihak pembelaan akan memanggil Mohamed Apandi untuk membuktikan kenyataan akhbarnya.

Terdahulu, peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya akan memanggil pakar tandatangan daripada Australia dalam prosiding bela diri bekas Perdana Menteri itu.

Katanya, ia bagi membolehkan pakar menentukan kesahihan beberapa dokumen yang dikemukakan di mahkamah yang mengandungi tandatangan anak guamnya.

“Kami akan memerlukan pakar tulisan dan penulisan tangan yang kami dapatkan daripada Australia dan beliau akan hadir pada hari Rabu ini. Beliau akan bersedia pada hari terbabit untuk memberikan pandangan mengenai isu tandatangan (Najib),” katanya.

Bagaimanapun, Sithambaram membantah permohonan itu dengan alasan ia boleh menyebabkan prejudis terhadap kes pendakwaan dan meminta pihak pembelaan supaya mengemukakan permohonan serta afidavit kepada mahkamah berhubung perkara itu.

Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali, sehubungan itu memutuskan bahawa peguam bela perlu memfailkan permohonan rasmi untuk dipertimbangkan oleh mahkamah.

Sementara itu, Najib yang membacakan pernyataan saksinya ketika membela diri, menjelaskan mengenai isu mengapa beliau tidak membuat laporan polis terhadap wang RM42 juta dimasukkan ke dalam akaun peribadi AmBank miliknya pada 2014.

Menurut bekas Perdana Menteri, beliau mengambil keputusan untuk tidak membuat laporan kerana tidak mahu dilihat mengganggu siasatan pihak berkuasa.

Jelasnya, beliau juga memilih untuk tidak membuat kenyataan mengenai perkara itu kerana mahu menunggu siasatan selesai.

Najib berkata, beliau mengambil pendirian itu walaupun mengetahui mengenai transaksi yang besar itu daripada Pengarah Urusan Ihsan Perdana Sdn Bhd, Datuk Dr Shamsul Anwar Sulaiman dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M), Ung Su Ling.

Mengikut pemahaman beliau, siasatan Pasukan Petugas Bersama (Joint Task Force) iaitu Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Bank Negara Malaysia dan Polis Diraja Malaysia bermula selepas penerbitan artikel daripada sebuah portal pada 2 Julai 2015 berhubung wang daripada SRC dipindahkan ke dalam akaunnya.

Najib yang menjawab soalan Wan Aizuddin, berkata beliau mendapat tahu mengenai transaksi itu ketika siasatan sudah bermula.

Perbicaraan bersambung esok.

Berita Harian X