Rabu, 11 Disember 2019 | 1:40pm
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hadir pada Prosiding bela diri dalam kes skandal SRC International Sdn Bhd di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. - Foto Muhd Zaaba Zakeria
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hadir pada Prosiding bela diri dalam kes skandal SRC International Sdn Bhd di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

Lembaga Pengarah hanya dilantik selepas SRC mohon pinjaman RM3.95b daripada KWAP

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu Ahli Lembaga Pengarah SRC International Sdn Bhd hanya dilantik selepas syarikat itu membuat permohonan pinjaman RM3.95 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP).

Pendedahan oleh Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas itu dikemukakan melalui tujuh dokumen dalam perbicaraan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC yang dihadapi Datuk Seri Najib.

Antara dokumen yang dirujuk Tommy ketika menyoal balas Najib adalah surat pelantikan tujuh pengarah SRC, Memorandum dan Artikel Persatuan (M&A) termasuk surat dan e-mel berhubung dua permohonan pinjaman SRC daripada KWAP.

Berdasarkan kepada dokumen berkenaan, Tommy menyatakan bahawa SRC membuat keputusan untuk memohon pinjaman daripada KWAP pada Jun dan Julai sementara Lembaga Pengarah dilantik pada Ogos tahun sama.

Najib bagaimanapun menjawab bahawa bulan Ogos adalah pelantikan rasmi Ahli Lembaga Pengarah.

“Nama mereka mungkin sudah dicadangkan Lembaga Pengarah, ...saya perlu menyemaknya, tetapi pelantikan rasmi adalah pada 1 Ogos,” katanya.

Terdahulu, Najib juga turut diminta Tommy mengesahkan butiran dalam dokumen rasmi SRC dan tulisan tangan bekas presiden UMNO itu dalam empat surat yang sebelum itu dikemukakan kepada mahkamah.

Tommy : Berulang kali kamu katakan bahawa peranan kamu adalah sebagai Ketua Lembaga Penasihat SRC. Ia jawapan ‘standard’ kamu di mana semua keputusan (SRC) adalah atas nasihat Lembaga Penasihat SRC. kamu ingat?

Najib: Ya.

Tommy : Bagaimana kamu menerima nasihat berhubung tujuh dokumen (pinjaman dan lantikan pengarah) walaupun Lembaga Pengarah belum wujud lagi?

Najib: Ia dikemukakan oleh CEO (Ketua Pegawai Eksekutif) pada masa itu.

Tommy kemudian mencadangkan bahawa semua keputusan dibuat atas arahan Najib secara peribadi, bagaimanapun bekas perdana menteri itu tidak bersetuju dengan cadangan berkenaan.

Sementara itu, Najib mengakui bahawa proses pembentangan Jaminan Kerajaan bagi pinjaman RM2 bilion oleh SRC kepada Kabinet pada tahun 2011 dipercepatkan.

Najib berkata, ia adalah kerana terdapat terdapat peluang pelaburan yang menunggu syarikat itu selaras dengan penubuhan SRC untuk kepentingan negara.

Tommy : Saya katakan keadaan (bagi mendapatkan pinjaman KWAP) adalah tergesa-gesa dan seolah-olah ia penting. Kenapa?

Najib: Syarikat SRC ditubuhkan kerana keperluan dari segi strategi negara dan ia disokong Unit Perancang Ekonomi (EPU). Syarikat itu mempunyai peluang pelaburan jadi keperluan kewangan SRC perlu diusahakan. Sebab itu perkara ini dilakukan.

“Di sini saya mahu jelaskan bahawa ia bukan perkara luar biasa keperluan mana-mana syarikat baharu diusahakan pada masa singkat,” katanya.

Berita Harian X