Rabu, 11 Disember 2019 | 9:31pm
AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut, Dr Ting Tiong Choon (tengah) ketika ditemui di Mahkamah Persekutuan, hari ini. - Foto BERNAMA
AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut, Dr Ting Tiong Choon (tengah) ketika ditemui di Mahkamah Persekutuan, hari ini. - Foto BERNAMA

Keputusan rayuan kes ADUN Pujut pada tarikh ditetapkan kemudian

PUTRAJAYA: Panel sembilan hakim Mahkamah Persekutuan menetapkan untuk menyampaikan keputusan rayuan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dan dua lagi mengenai pemecatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut, Dr Ting Tiong Choon kerana mempunyai dua kewarganegaraan pada tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

Ketua Hakim Negara, Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat yang mempengerusikan panel itu, memutuskan demikian selepas mendengar hujahan daripada pihak-pihak dalam rayuan itu.

DUN Sarawak; Speaker DUN Sarawak, Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar dan Menteri Kewangan Kedua, Datuk Sri Wong Soon Koh merayu berhubung keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan yang membatalkan keputusan DUN Sarawak untuk melucutkan kelayakan Dr Tiong Choon.

Panel itu turut dianggotai Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Rohana Yusuf; Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri David Wong Dah Wah dan Hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Datuk Mohd Zawawi Salleh, Datuk Nallini Pathmanathan, Datuk Ong Lam Kiat, Datuk Abdul Rahman Sebli, Datuk Zabariah Mohd Yusof dan Datuk Hasnah Mohammed Hashim.

Terdahulu, peguam Tan Sri Cecil Abraham yang mewakili Speaker DUN berhujah Dr Tiong Choon tidak boleh berada dalam DUN walaupun dia telah melepaskan kewarganegaraannya di Australia.

Beliau berkata, tindakan Dr Tiong Choon melepaskan kewarganegaraan Australia itu tidak mempunyai keputusan sah bagi membolehkan beliau layak untuk bertanding sebagai calon pilihan raya.

Abraham berkata, Dr Tiong Choon telah mengambil kerakyatan Australia dan kemudian melepaskannya, bukanlah perbuatan yang dapat ditebus.

“Pelucutan kelayakan mestilah didahului oleh kelayakan. Seseorang mesti layak terlebih dahulu sebelum kelayakannya dibatalkan. Jika seseorang itu telah dibatalkan, apakah lagi yang perlu dibatalkan?,” kata Cecil ketika memetik penghakiman Hakim Mahkamah Rayuan ketika itu, Datuk Abang Iskandar Abang Hashim (sekarang Hakim Mahkamah Persekutuan).

Di bawah Artikel 17 (1)(g) Perlembagaan Sarawak, seseorang itu akan hilang kelayakan jika beliau secara sukarela memperoleh kewarganegaraan lain.

Peguam Besar Negeri Sarawak, Datuk Talat Mahmood Abdul Rashid yang mewakili DUN berhujah ketika usul untuk melucutkan kelayakan Dr Tiong Choon dibangkitkan, keputusan itu dibuat semasa sidang DUN dan oleh itu ia pertikaian yang tidak boleh diadili.

Dr Tiong Choon yang diwakili peguam Chong Siew Chiang, berhujah tidak ada kesinambungan dalam faktor hilang kelayakan jika seseorang itu telah melepaskan kewarganegaraan asingnya.

Justeru beliau berkata, keputusan DUN boleh diadili dan mahkamah mempunyai kuasa untuk mencelah.

Katanya, Speaker dan DUN telah bertindak melebihi kuasa mereka dan dalam kes ini, mahkamah mempunyai kuasa untuk mencelah.

Ketiga-tiga perayu diberi kebenaran oleh Mahkamah Persekutuan pada Julai lalu untuk mengemukakan rayuan. Tujuh persoalan undang-undang dibangkitkan untuk diputuskan Mahkamah Persekutuan.

Kelayakan Dr Tiong Choon sebagai ADUN Pujut dibatalkan pada 12 Mei 2017 selepas usul dibentangkan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan E-Perdagangan, Wong Soon Koh, kerana didakwa mempunyai dua kerakyatan iaitu Malaysia dan Australia.

Beliau kemudian memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi Kuching pada 7 Jun 2017 untuk mencabar keputusan DUN itu.

Pada 17 Jun 2017 Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa pembatalan status Dr Tiong Choon sebagai ADUN Pujut adalah tidak mematuhi undang-undang dan pada 13 Julai 2018, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa DUN telah melepasi kuasanya apabila melucutkan Dr Tiong Choon sebagai seorang ADUN berdasarkan pemilikan dua kewarganegaraannya, yang Dr Tiong Choon telah serahkan kembali sebelum dicalonkan bagi pemilihan Pujut. - BERNAMA

Berita Harian X