Jumaat, 13 Disember 2019 | 3:31pm
BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi permohonan mendapatkan dokumen bekas Eksekutif PetroSaudi Xavier Justo. NSTP/Asyraf Hamzah

Mahkamah benar Najib dapatkan dokumen Justo

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, membenarkan permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memeriksa dokumen diserahkan bekas eksekutif PetroSaudi International Ltd, Xavier Andre Justo kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam siasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Hakim Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan peguam mewakili Najib (pemohon), Al Firdaus Shahrul Naing dan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Seri Gopal Sri Ram.

Dalam keputusannya, Collin berkata, mahkamah membenarkan pihak pembelaan mendapatkan dokumen dan memerintahkan pendakwaan menyerahkannya dalam masa tiga minggu.

“Pihak pembelaan boleh memeriksa dokumen itu melalui pasukan pendakwaan dalam tempoh tiga minggu dari hari ini.

“Ini kerana mahkamah mendapati terdapat asas mencukupi bahawa dokumen itu relevan dengan pemohon dan pembelaannya.

Bahan yang dicari adalah berkaitan pertuduhan dalam perbicaraan 1MDB,” katanya.

Sri Ram kemudian memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya akan menyerahkan pemacu komputer mengandungi 17,000 dokumen berkaitan 1MDB yang dikehendaki kepada pembelaan.

Collin sehubungan itu menetapkan 7 Januari depan untuk pengurusan kes perbicaraan 1MDB dihadapi Najib.

Pada 16 Oktober lalu, Najib, 66, memfailkan notis usul dengan menamakan pendakwa raya sebagai responden.

Najib membuat permohonan berkaitan ketika prosiding perbicaraan kes rasuah dihadapinya membabitkan RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Dalam permohonan itu, Najib memohon perintah mahkamah untuk memaksa pihak pendakwaan atau mana-mana entiti lain yang memiliki, menjaga dan mengawal dokumen diserahkan Justo kepada SPRM berkaitan usaha sama 1MDB dengan PetroSaudi International Ltd, sama ada dalam bentuk fizikal atau dimuat turun daripada peranti storan digital, untuk diperiksanya.

Najib antara lain memohon mahkamah memaksa pihak pendakwaan atau mana-mana entiti lain yang memiliki dan mengawal dokumen berkenaan untuk menyerahkannya kepada beliau.

Beliau memfailkan permohonan itu atas alasan dokumen dimohon adalah relevan dan dapat membantu pembelaan pemohon, yang mungkin sudah digugurkan atau ditahan daripada dikeluarkan yang bercanggah dengan Seksyen 51A Kanun Prosedur Jenayah.

Najib berkata, pemeriksaan atau pengeluaran dokumen itu tidak bercanggah dengan kepentingan awam dan sebaliknya tidak mendedahkan serta menolak untuk ia diperiksa adalah menafikan hak pemohon mendapat perbicaraan adil.

Berita Harian X