Jumaat, 13 Disember 2019 | 5:33pm

Saksi bomba syak kematian Nazrin akibat khianat dari awal

SHAH ALAM: Seorang pegawai forensik bomba mengesyaki kematian Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Sdn Bhd, Nazrin Hassan, berpunca daripada perbuatan khianat selepas melakukan siasatan di bilik tidur utama kediaman mangsa pada hari kejadian.

Saksi pendakwaan ke-15, Pegawai Penyiasat Kebakaran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Abdul Halim Zulkefeli, yang memberi keterangan di Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini, bagaimanapun berkata, beliau tidak membuat sebarang laporan berhubung perkara itu sehingga pada Julai 2018.

Ketika ditanya peguam bela semua tertuduh, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, berhubung tindakannya menyerahkan lokasi kejadian kepada tertuduh pertama yang juga isteri Nazrin, Samirah Muzaffar, Abdul Halim berkata, ia dibuat kerana siasatan bagi pihak bomba sudah selesai dan turut menyerahkan siasatan seterusnya kepada polis.

“Sebab saya sudah jalankan penyiasatan kebakaran itu. Benda utama pada tarikh kejadian itu sudah diambil.

“Sebab tu saya serahkan semula (bilik kejadian) kepada Samirah,” katanya ketika ditanya pada sesi soal balas di hadapan Hakim Ab Karim Ab Rahman.

Saksi pendakwaan ke-15, Pegawai Penyiasat Kebakaran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Abdul Halim Zulkefeli (kanan) hadir memberi keterangan di Mahkamah Tinggi Shah Alam. - NSTP/Faiz Anuar
Saksi pendakwaan ke-15, Pegawai Penyiasat Kebakaran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Abdul Halim Zulkefeli (kanan) hadir memberi keterangan di Mahkamah Tinggi Shah Alam. - NSTP/Faiz Anuar

Samirah hadir perbicaraan kes kematian Allahyarham Nazrin di Mahkamah Tinggi Shah Alam. - NSTP/Faiz Anuar
Samirah hadir perbicaraan kes kematian Allahyarham Nazrin di Mahkamah Tinggi Shah Alam. - NSTP/Faiz Anuar

Abdul Halim memberi keterangan terhadap Samirah, 44, yang juga bekas Eksekutif Kanan di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), serta dua remaja lelaki masing-masing berusia 17 dan 14 tahun, yang berdepan tuduhan membunuh Nazrin.

Turut didakwa ialah seorang warga Indonesia, Eka Wahyu Lestari yang masih bebas.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di rumah di Mutiara Homes, Mutiara Damansara, Petaling Jaya antara 11.30 malam pada 13 Jun 2018 dan 4 pagi keesokannya.

Saksi sama tidak bersetuju ketika Muhammad Shafee mencadangkan beliau hanya mengesyaki berlakunya kejadian jenayah selepas siasatan dilakukan pada 19 Julai tahun sama.

Abdul Halim, 33, juga tidak bersetuju apabila Muhammad Shafee mencadangkan bahawa pandangan yang menuduh Samirah adalah satu tindakan tidak bijak dan tidak masuk akal.

Perbicaraan bersambung Isnin ini.

Berita Harian X