Jumaat, 13 Disember 2019 | 8:15pm
Ketua Polis Daerah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Asisten Komisioner Zulkifli Adamsah (dua dari kanan) menunjukkan barangan yang dicuri ketika sesi sidang media di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) di Ibu Pejabat Polis KLIA. - NSTP/Luqman Hakim Zubir

Komponen, aksesori motosikal pasukan MotoGP ditemui

SEPANG: Polis merampas 42 alat komponen dan aksesori motosikal bernilai lebih RM75,000 milik pasukan yang beraksi pada perlumbaan Grand Prix (GP) Malaysia, bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Asisten Komisioner Zulkifli Adamsah, berkata rampasan dibuat menerusi beberapa siri serbuan di sekitar Sepang dan Bangi, baru-baru ini.

Beliau berkata, tangkapan dan rampasan dibuat antara 3 November hingga 12 Disember lalu.

Ketua Polis Daerah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Asisten Komisioner Zulkifli Adamsah (kiri) menunjukkan barangan yang dicuri di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) di Ibu Pejabat Polis KLIA. - NSTP/Luqman Hakim Zubir

“Kita menahan enam lelaki warga tempatan berumur lingkungan 23 tahun dan merampas barangan serta aksesori motosikal.

“Antara yang dirampas ialah empat beg pelbagai jenama, 26 unit brek pelbagai jenis, tujuh unit spanar, tiga batang demper, dua pemulas pendikit (handle grip), dua set pemanas tayar, dua helai jaket hitam berjenama, 14 unit skru dan enam botol minyak brek.

“Siasatan awal mendapati seorang suspek mempunyai bengkel motosikal dan difahamkan menjual barang curi terbabit kepada peminat motosikal untuk diubah suai,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Zulkifli berkata, ada komponen aksesori itu dijual pada harga lebih murah berbanding harga pasaran.

“Sebagai contoh ‘brake caliper’ ini dijual dengan harga RM600 bagi setiap unit walaupun harga sebenarnya mencecah RM1,000.

“Barang ini mahal kerana ia buatan luar negara. Difahamkan ada antara barang curi ini sudah digunakan pada motosikal suspek,” katanya.

Beliau berkata, dua daripada enam suspek didapati positif dadah dan mempunyai rekod lampau seperti jenayah curi motosikal.

“Antara suspek yang ditahan ialah pekerja sambilan sempena MotoGP dan mempunyai pas masuk ke kawasan Litar Antarabangsa Sepang (SIC),” katanya.

Kecurian pada awal pagi 1 November lalu itu membabitkan lima hingga enam pasukan yang kehilangan komponen jentera Moto3 dan Moto2, dengan pasukan Angel Nieto paling terkesan.

Antara komponen yang dicuri di khemah pasukan berkenaan termasuk set lengkap penyerap hentak, angkup, cakera brek, komputer riba, alat bengkel dan pemanas tayar.

Berita Harian X