Jumaat, 13 Disember 2019 | 8:49pm
Sebuah kren berantai jatuh menghempap tiga buah rumah dan dua kereta, sekali gus menghalang laluan jalan raya di Bandar Baru Sentul, Kuala Lumpur, petang tadi. - NSTP/Ihsan Bomba

Kren berantai tumbang, 4 termasuk bayi cedera

KUALA LUMPUR: Empat individu, termasuk seorang bayi lelaki berusia tiga bulan, cedera selepas sebuah kren berantai di tapak projek pembinaan kondominium tumbang di Bandar Baru Sentul, di sini, hari ini.

Kren terbabit dilaporkan menghempap tiga rumah dan dua kereta, sekali gus menghalang laluan jalan raya di lokasi terbabit.

Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 6.34 petang.

Sebuah kren berantai jatuh menghempap tiga buah rumah dan dua kereta, sekali gus menghalang laluan jalan raya di Bandar Baru Sentul, Kuala Lumpur, petang tadi. - NSTP/Ihsan Bomba

“Susulan itu, sepasukan 11 anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sentul diketuai Othman Abu Bakar, dihantar ke lokasi kejadian.

“Setiba di lokasi 12 minit kemudian, pasukan penyelamat mendapati sebuah kren berantai tumbang dan menghalang laluan jalan raya.

“Ada empat mangsa mengalami kecederaan, iaitu seorang lelaki, dua wanita dan seorang bayi lelaki berusia tiga bulan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebuah kren berantai jatuh menghempap tiga buah rumah dan dua kereta di Bandar Baru Sentul, petang tadi. - NSTP/Ihsan Bomba

Semua mangsa yang cedera kemudian dihantar dengan ambulans ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan lanjut.

Difahamkan, punca kejadian sedang disiasat.

Berita Harian X