Sabtu, 14 Disember 2019 | 2:23pm
Seorang lelaki maut dipercayai tertembak diri sendiri di Simunjan. - Foto hiasan
Seorang lelaki maut dipercayai tertembak diri sendiri di Simunjan. - Foto hiasan

Mati tertembak diri sendiri

SIMUNJAN: Seorang lelaki maut dipercayai tertembak diri sendiri, dalam kejadian yang dilaporkan berlaku di sebuah kampung di sini pada Khamis lalu sekitar jam 4.27 petang.

Ketua Polis Daerah Simunjan, Deputi Superintendan Merbin Lisa, berkata mangsa berusia dalam lingkungan 30-an, tertembak diri sendiri menggunakan senapang patah di dalam biliknya.

Jelas beliau, menurut saksi iaitu kakak mangsa yang berusia 40-an, kejadian berlaku ketika dia sedang memasak dan terdengar bunyi letupan.

“Selepas itu, saksi keluar mencari dari mana punca letupan itu lalu terlihat adiknya terbaring di atas tilam dalam keadaan nyawa-nyawa ikan dengan bahagian muka sebelah kiri hampir hancur manakala senapang patah milik mangsa berada di atas pahanya.

“Tidak lama selepas itu, mangsa meninggal dunia dan saksi mengesyaki adiknya tertembak diri sendiri,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Merbin berkata hasil, siasatan mendapati senapang patah jenis SBBL 12 Bore itu adalah milik mangsa sendiri dan mempunyai lesen yang sah.

Katanya senapang mangsa kemudian dirampas bagi membantu siasatan.

Tambah Merbin, ketika kejadian, hanya mangsa dan kakaknya berada di rumah.

Katanya, menurut kakak mangsa, adiknya tidak mengalami masalah kemurungan dan tidak juga mempunyai masalah dengan ahli keluarga yang lain.

Beliau berkata mayat mangsa dibawa ke Hospital Serian dan kemudian dirujuk ke Hospital Umum Sarawak untuk bedah siasat dan kes disiasat kerana mati mengejut.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X