Ahad, 15 Disember 2019 | 10:50am
Remaja lelaki maut selepas terbabit dalam kemalangan dengan kereta yang dipandu seorang wanita di Kilometer 3 Ipoh - Lumut, Manjung, malam tadi. - Ihsan pembaca
Remaja lelaki maut selepas terbabit dalam kemalangan dengan kereta yang dipandu seorang wanita di Kilometer 3 Ipoh - Lumut, Manjung, malam tadi. - Ihsan pembaca

Remaja maut kemalangan

SERI MANJUNG: Remaja lelaki maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 3 Jalan Ipoh - Lumut di sini, malam tadi.

Dalam kejadian pada 9.15 malam itu, penunggang motosikal Harith Iqhwan Yuseri, 16, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di leher.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi, berkata kemalangan membabitkan motosikal ditunggang mangsa dengan sebuah kereta dipandu wanita berusia 42 tahun.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kereta berkenaan dari arah Sitiawan menghala ke Ayer Tawar, manakala mangsa dari arah bertentangan.

“Apabila sampai di tempat kejadian, penunggang motosikal dipercayai hilang kawalan dan masuk ke laluan kereta, lalu terlanggar bahagian hadapan kereta itu.

“Akibat kemalangan itu motosikal terbabit terbakar dan penunggang pula cedera parah dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, jenazah mangsa dibawa ke Hospital Seri Manjung untuk bedah siasat, manakala pemandu kereta berkenaan tidak cedera.

“Siasatan lanjut diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X