Ahad, 15 Disember 2019 | 4:16pm
ANGGOTA bomba menyelamatkan seorang wanita lumpuh yang terperangkap apabila kediamannya di Jalan Kolam Air dinaiki air. - Foto Ahmad Ismail
ANGGOTA bomba menyelamatkan seorang wanita lumpuh yang terperangkap apabila kediamannya di Jalan Kolam Air dinaiki air. - Foto Ahmad Ismail

Bomba selamat pesakit terlantar terperangkap banjir

SEGAMAT: Seorang wanita lumpuh berusia 53 tahun terperangkap apabila kediamannya di Jalan Kolam Air di sini dinaiki air sebelum diselamatkan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Segamat, hari ini.

Pegawai JBPM Segamat, Muhd Hazim Abdul Razak, berkata pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 10 pagi daripada orang awam memaklumkan kejadian itu.

“Wanita lumpuh keseluruhan badan itu terperangkap di dalam kediamannya bersama anak lelaki, menantu serta seorang cucu perempuan berusia kira-kira dua tahun.

“Seramai lima anggota JBPM Segamat berserta sebuah jentera turut disertai dua anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Segamat dan sebuah kenderaan ambulans turut menyertai usaha penyelamatan mangsa,” katanya ditemui di kediaman mangsa, hari ini.

Beliau berkata, bomba menggunakan peralatan pengusung untuk mengeluarkan mangsa dari rumahnya sebelum dibawa menaiki kenderaan APM yang menunggu di kawasan belum dinaiki air di situ.

Katanya, mangsa dan keluarganya kemudian dihantar ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Balai Raya, Kampung Berata, di sini.

“Mangsa turut diberikan pemeriksaan awal oleh kakitangan Jabatan Kesihatan Segamat dan pihak Hospital Daerah Segamat,” katanya.

Berita Harian X