Selasa, 17 Disember 2019 | 9:35am
Kebakaran sebuah rumah di Taman Puncak Iskandar, Seri Iskandar. - Foto ihsan Bomba
Kebakaran sebuah rumah di Taman Puncak Iskandar, Seri Iskandar. - Foto ihsan Bomba

Bantuan jiran selamatkan nyawa

SERI ISKANDAR: Tindakan pantas jiran berjaya menyelamatkan nyawa seorang pelajar Kolej Profesional Mara Seri Iskandar yang terperangkap dalam kebakaran rumah sewanya di Taman Puncak Iskandar, Seri Iskandar, di sini awal pagi tadi.

Jiran mangsa, Mohd Hafizan Mohd Zain, 35, berkata dia sekeluarga sedang tidur ketika kejadian berlaku sebelum terjaga sebaik terdengar jeritan pelajar berusia 19 tahun itu meminta pertolongan.

Katanya, tanpa berlengah, dia bergegas keluar rumah dan terkejut melihat api marak di bahagian depan rumah sewa pelajar berkenaan sebelum mengejutkan beberapa jiran lain untuk membantu menyelamatkan mangsa.

“Saya melihat api marak di hadapan rumah sewa mangsa, malah beberapa kenderaan, termasuk motosikal yang diletakkan di situ juga terbakar. Melihatkan keadaan itu, saya terus menghubungi bomba kerana bimbang kebakaran merebak ke rumah bersebelahan.

“Mangsa cuba membuka pintu untuk menyelamatkan diri tetapi api terlalu marak, menyebabkan pelajar itu bergegas naik ke tingkat atas semula,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Kejadian kira-kira jam 1 pagi itu turut memusnahkan sebuah kereta dan tiga motosikal di rumah berkenaan.

Difahamkan, remaja lelaki berusia 19 tahun itu tinggal berseorangan, manakala beberapa rakan serumahnya sudah pulang bercuti di kampung.

Anggota bomba menyelamatkan seorang remaja lelaki selepas bahagian hadapan rumah sewanya terbakar di Taman Puncak Iskandar, Seri Iskandar, awal pagi tadi. - Foto ihsan Bomba
Anggota bomba menyelamatkan seorang remaja lelaki selepas bahagian hadapan rumah sewanya terbakar di Taman Puncak Iskandar, Seri Iskandar, awal pagi tadi. - Foto ihsan Bomba

Mohd Hafizan berkata, beberapa jiran lain turut membantu memadamkan kebakaran, namun tidak berjaya kerana api terlalu marak.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.18 pagi sebelum sepasukan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Seri Iskandar dikejarkan ke lokasi.

“Kebakaran membabitkan bahagian hadapan rumah yang musnah terbakar 10 peratus, sebuah kereta terbakar 40 peratus dan tiga motosikal yang musnah terbakar 90 peratus.

“Bomba berjaya mengawal dan memadam sepenuhnya kebakaran itu dan turut menyelamatkan seorang mangsa dengan menggunakan tangga,” katanya.

Katanya, operasi ditamatkan pada jam 1.52 pagi.

Berita Harian X