Rabu, 25 Disember 2019 | 12:46pm
ANGGOTA MAQIS menunjukkan ayam sejuk beku yang dirampas berikutan tidak mempunyai permit untuk dibawa masuk dari Thailand. - Foto ihsan MAQIS

MAQIS rampas ayam

RANTAU PANJANG: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) merampas ayam sejuk beku tanpa permit seberat 3,600 kilogram, bernilai RM30,000 yang dibawa masuk dari Thailand.

Pengarah MAQIS Kelantan, Mohd Azam Yahya, berkata tindakan membawa masuk ayam sejuk beku itu digagalkan oleh Cawangan Risikan Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) dalam Ops Wawasan Kelantan di pengkalan haram sekitar Rantau Panjang pada jam 3.30 pagi, Ahad lalu.

Katanya, semua ayam yang dimasukkan ke dalam 300 kotak itu tidak mempunyai permit import yang sah daripasa MAQIS, selain tiada sijil kesihatan dan sijil perakuan halal daripada negara asal.

“Sebuah lori yang digunakan untuk mengangkut barangan berkenaan turut ditahan menjadikan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan sebanyak RM60,000.

“Kes ini akan disiasat bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011,” katanya.

Sementara itu, dalam kes berasingan, Mohd Azam berkata, pihaknya mematahkan cubaan lelaki warganegara Thailand membawa keluar 4,200 biji telur ayam daripada Malaysia ke Thailand tanpa sebarang dokumen sah di Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Bunga, Tanah Merah, kelmarin.

“Semua telur bernilai RM3,000 ini disusun di bahagian tempat duduk belakang penumpang dan bonet belakang kereta yang dipandu suspek dipercayai untuk dijual di Thailand.

“Anggota MAQIS turut menemui beberapa peket gula dan minyak masak yang cuba dibawa keluar.

“Telur ayam dirampas kerana tidak mempunyai sebarang dokumen yang sah seperti permit eksport dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 11(2), iaitu perbuatan mengeksport tanpa sebarang permit, perakuan atau lesen yang dikeluarkan oleh MAQIS,” katanya.

Katanya, jika disabit kesalahan pelaku kepada kedua-dua kes itu boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali, mengikut Seksyen 11(3) akta yang sama.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X