Khamis, 26 Disember 2019 | 8:02pm

Banglo diarah roboh akibat pergerakan tanah serius

AMPANG: Sebuah banglo di Jalan Kelab Ukay 2 di sini, diarah untuk dirobohkan secepat mungkin susulan berlaku pergerakan tanah yang serius di premis berkenaan, awal pagi semalam.

Kejadian yang bermula kira-kira jam 4 pagi itu menyaksikan rumah terbabit mengalami kerosakan struktur kritikal hingga diklasifikasikan sebagai tidak selamat untuk diduduki.

Selain penghuni rumah terbabit, dua lagi keluarga di dua rumah berhampiran turut diarah dikosongkan serta-merta, manakala lima lagi rumah di kawasan kejadian diletakkan dalam situasi berjaga-jaga.

Rumah terbabit mengalami kerosakan struktur kritikal hingga diklasifikasikan sebagai tidak selamat untuk diduduki. - NSTP/Azhar Ramli

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, memaklumkan rumah berkenaan terpaksa dirobohkan bagi mengelakkan risiko tanah runtuh berlaku, yang akan menyebabkan lebih banyak kediaman di kawasan itu menjadi mangsa.

“Selepas bermesyuarat bersama Jabatan Kerja Raya (JKR), Pejabat Tanah dan Galian Selangor, MPAJ (Majlis Perbandaran Ampang Jaya), bomba serta Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), tindakan segera yang diputuskan mengorbankan satu rumah supaya kawasan yang berlaku pergerakan tanah boleh distabil dan dimampatkan.

“Pemilik rumah bersetuju secara prinsip untuk merobohkan rumahnya, namun kita perlu melihat beberapa perkara teknikal, pengurusan dan keadaan kewangannya.

“MPAJ dan jabatan terbabit juga diarah meletakkan membran plastik diatas tanah yang terdedah dengan hujan bagi mengurangkan risiko berlakunya perkara lebih buruk,” katanya selepas membuat lawatan di kawasan rumah yang terkesan dengan pergerakan tanah di sini, hari ini.

Zuraida turut mengarahkan MPAJ mewujudkan pelan perancangan pembangunan di kawasan cerun yang lebih holistik, bagi mengelak kejadian sama pada masa depan.

“Jabatan teknikal MPAJ kena berikan garis panduan apakah bahan untuk membantu memastikan pembangunan di atas bukit dapat bertahan, tidak mudah ada risiko terjadi perkara ini,” katanya.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin bercakap kepada wartawan selepas meninjau rumah yang mengalami pergerakkan tanah yang boleh mengundang bahaya kepada penduduk di Ukay Perdana, Ampang. - NSTP/Azhar Ramli

Berhubung punca kejadian, Zuraida memaklumkan ia belum dikenal pasti kerana pasukan teknikal perlu meneliti pelan pembangunan rumah yang terjejas daripada perunding, arkitek dan jurutera yang membina premis berkenaan.

“Tindakan perobohan dan mencari punca kejadian akan dibuat serentak. Selepas rumah dirobohkan, kita akan lihat sama ada boleh dibina semula rumah baharu, namun kita memang tidak galakkan,” katanya sambil menjelaskan ia tidak membabitkan sebarang pampasan daripada kerajaan kerana premis terkesan ada milik individu.

Beberapa kawasan berbukit di Ampang, dikenal pasti antara lokasi berisiko kerana kerap berlaku kejadian tanah runtuh, runtuhan cerun dan pergerakan tanah.

Antaranya kejadian runtuhan satu daripada tiga blok kondominium Highland Towers yang meragut 48 nyawa pada 1993, selain tanah runtuh di Taman Bukit Mewah di Bukit Antarabangsa pada 2008, yang meragut empat nyawa serta meranapkan 14 banglo.

Isnin lalu, penghuni sebuah rumah di Jalan Lee Voon Taman Zoo View di sini, turut diarah mengosongkan kediaman apabila berlaku runtuhan cerun di kawasan berkenaan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin meninjau rumah yang mengalami pergerakkan tanah yang boleh mengundang bahaya. - NSTP/Azhar Ramli
Berita Harian X