Khamis, 2 Januari 2020 | 8:54am
Anggota MAQIS Kelantan menunjukkan sebahagian pelbagai hasil pertanian dan makanan yang dirampas daripada dua lelaki warga Bangladesh di LTSIP. - Ihsan MAQIS Kelantan
Anggota MAQIS Kelantan menunjukkan sebahagian pelbagai hasil pertanian dan makanan yang dirampas daripada dua lelaki warga Bangladesh di LTSIP. - Ihsan MAQIS Kelantan

MAQIS rampas 50kg hasil pertanian, makanan

KOTA BHARU: Pelbagai hasil pertanian dan makanan seberat 50 kilogram (kg) yang cuba dibawa masuk tanpa permit oleh dua lelaki warga Bangladesh dirampas di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), di sini, kelmarin.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Kelantan, Mohd Azam Yahya, berkata dalam kejadian jam 8.50 pagi itu, pihaknya menjalankan pemeriksaan bersama pegawai kastam terhadap dua lelaki terbabit yang kedua-duanya berusia 50-an di balai ketibaan.

Katanya, hasil pemeriksaan bagasi melalui mesin pengimbas mendapati mereka membawa pelbagai jenis hasil pertanian dan makanan seperti kubis bunga, cili padi, terung, lobak putih, bunga bawang dan ikan masin.

“Hasil soal siasat mendapati semua barangan makanan berkenaan dibawa daripada negara asal mereka untuk kegunaan sendiri.

“Hasil pertanian dan makanan terbabit dirampas kerana tiada sebarang dokumen yang sah seperti permit import dan sijil Fitosanitasi daripada negara asal.

“Tujuan larangan mengimport serta membawa masuk hasil pertanian menerusi laluan udara adalah bagi menghalang perosak yang dibawa masuk dari negara luar kerana jika terdapat bahan tercemar ia boleh memberi kesan terhadap kesihatan dan industri negara,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mohd Azam berkata, berdasarkan rekod, sepanjang operasi tiga bulan terakhir pada 2019, pihak MAQIS merampas 1,000 kg hasil pertanian dan makanan yang dianggarkan bernilai RM3,000 yang dibawa masuk ke negara ini.

Katanya, kes terbabit membabitkan penumpang dari Bangladesh sebanyak empat kes, Kemboja (tiga kes) dan masing-masing satu kes dari China dan Australia.

“Perbuatan mengimport tanpa permit yang sah daripada MAQIS adalah menjadi kesalahan di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).

“Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali.

“MAQIS bertanggungjawab memastikan tiada penyakit dan risiko kemasukan perosak serta keselamatan makanan selain akan terus komited dalam membanteras aktiviti penyeludupan hasil pertanian,” katanya.

Berita Harian X