Jumaat, 3 Januari 2020 | 9:38pm
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri merampas aksesori kamera tiruan bernilai RM52,070 di Senawang. - Foto ihsan KPDNHEP
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri merampas aksesori kamera tiruan bernilai RM52,070 di Senawang. - Foto ihsan KPDNHEP

KPDNHEP Negeri Sembilan rampas aksesori kamera tiruan RM52,070

SEREMBAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan merampas aksesori kamera tiruan bernilai RM52,070 dalam operasi di Senawang, di sini, hari ini.

Pengarahnya, Ain Arjuna Aziz Zaman, berkata operasi membabitkan lapan pegawai penguat kuasa bersama pemilik cap dagang itu dijalankan selepas menerima aduan orang ramai.

“Pemeriksaan mendapati premis terbabit menjual aksesori kamera disyaki menggunakan perihal dagangan palsu, dan tindakan diambil mengikut Seksyen 102(1)(b) Akta Cap Dagang 2019,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pertubuhan yang didapati bersalah menjual barangan tiruan boleh didenda maksimum RM15,000 bagi setiap barang, manakala bagi kesalahan kedua dan berikutnya boleh didenda maksimum RM30,000 bagi setiap barang.

Katanya, hukuman terhadap selain daripada pertubuhan, jika sabit kesalahan, pula ialah denda maksimum RM10,000 bagi setiap barang atau penjara hingga tiga tahun atau keduanya-duanya, manakala bagi kesalahan berikutnya boleh didenda maksimum RM20,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya.

“KPDNHEP Negeri Sembilan akan mengambil tindakan tegas bagi menghalang penjualan barang tiruan dan barangan cetak rompak melalui penguatkuasaan Akta Cap Dagang 2019 dan Akta Hak Cipta 1987.

“Oleh itu, jika ada sebarang aduan atau pertanyaan, boleh salurkan melalui [email protected] dan hubungi KPDNHEP negeri melalui talian 06-6016500 atau mana-mana pejabat cawangan KPDNHEP terdekat untuk tindakan,” katanya.

Berita Harian X