Sabtu, 4 Januari 2020 | 9:58am

MAQIS rampas 200 biji kelapa

BUKIT KAYU HITAM: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) menggagalkan cubaan mengeksport kelapa ke Thailand di Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di sini, kelmarin.

Pengarah MAQIS Kedah Lily Rosalind, berkata dalam kejadian 12.30 tengah hari di laluan kereta itu, sebanyak 200 biji kelapa tanpa permit eksport dirampas dari sebuah pacuan empat roda jenis Toyota Hilux.

“Perbuatan mengeksport keluaran pertanian tanpa permit yang sah adalah menjadi suatu kesalahan.

“Mengikut Seksyen 11(2) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 11(3), akta yang sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara lebih enam tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Katanya, nilai anggaran keseluruhan rampasan adalah sebanyak RM500.

“Kelapa adalah satu komoditi kawalan, di mana dagangan import dan eksport barangan pertanian di bawah barangan kawalan ini memerlukan kelulusan sebelum permit dikeluarkan.

“Hal ini bagi mengawal kemasukan perosak seperti rhynchophorus ferrugineus atau red palm weevil sejenis perosak bawaan pokok jenis palma khasnya kelapa sawit yang amat digeruni di rantau Asia yang boleh melumpuhkan industri pertanian jika tidak dibendung dengan sebaiknya,” katanya.

Beliau berkata, MAQIS sentiasa komited dalam melaksanakan tugasan di semua pintu masuk negara bagi memastikan komoditi pertanian yang masuk dan keluar mematuhi syarat serta peraturan yang ditetapkan bagi menjamin kualiti dan selamat untuk dimakan oleh rakyat Malaysia.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X