Selasa, 7 Januari 2020 | 3:15pm

Cikgu didenda RM5,000 sembunyikan harta curi

AYER KEROH: “Dalam dunia ini, kita tidak boleh terlalu mudah percayakan orang, ada sahaja cara orang hendak menipu.

“Jadi cikgu, kita kena ambil pengajaran. Saya sendiri, ada dihubungi orang yang mendakwa dari Mahkamah Putrajaya. Agak-agaklah hendak menipu, mahkamah mana buka hari Ahad,” tegur Majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.

Teguran itu dibuat terhadap tertuduh, Haslina Mohd Dewa, 48, yang juga seorang guru sebuah sekolah menengah di Seremban, Negeri Sembilan yang mengaku bersalah atas pertuduhan menyembunyikan dan mengalihkan harta melalui akaun bank pada Julai dan Ogos tahun lalu.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa secara tidak jujur menyembunyikan dan mengalihkan harta menerusi akaun Hong Leong Bank milik sendiri iaitu wang hasil penipuan urusan jual beli kereta daripada P Subahtra berjumlah RM23,200 di Hospital Melaka, antara jam 11.12 pagi hingga jam 4.39 petang, pada 17 Julai hingga 2 Ogos tahun lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-dua sekali.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Raudhah Mazman memohon hukuman yang setimpal terhadap tertuduh sebagai pengajaran.

Tertuduh yang diwakili peguam Sheikh Ikhzan Sheikh Salleh memohon hukuman diringankan dengan mengambil kira tertuduh telah 22 tahun berkhidmat sebagai pendidik, selain menanggung empat anak.

Selepas mendengar rayuan kedua-dua pihak, Mohamad Izwan kemudian mengenakan hukuman denda RM5,000 dan 12 bulan penjara jika gagal membayar denda.

HASLINA Mohd Dewa diiringi anggota polis selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menyembunyikan dan mengalihkan harta melalui akaun bank pada Julai dan Ogos tahun lalu, ketika dibawa di Kompleks Mahkamah Melaka, Ayer Keroh. - Foto NSTP/Rasul Azli Samad
Berita Harian X