Rabu, 8 Januari 2020 | 4:35pm
Pejabat Peguam Negara memutuskan kes Nora Anne sebagai Tiada Tindakan Lanjut (NFA).

Status NFA kematian Nora Anne, keputusan Peguam Negara

SEREMBAN: Pejabat Peguam Negara memutuskan kes remaja warga Ireland, Nora Anne Quoirin, yang ditemui mati selepas dilaporkan hilang ketika menginap di sebuah pusat peranginan dekat Pantai di sini pada Ogos tahun lalu, sebagai Tiada Tindakan Lanjut (NFA).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, berkata kes yang disiasat polis itu juga tetap diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).

“Laporan SDR itu sudah kita hantar ke pejabat Peguam Negara di Putrajaya berdasarkan keterangan patologi yang kita rakam dan berdasarkan sijil punca kematian Nora Anne yang menyatakan kematiannya disebabkan kebocoran pada usus.

“Pihak Peguam Negara pada ketika itu memutuskan kes ini NFA. Saya percaya pihak patologi sudah menerima laporan psikologi dan mereka dalam persiapan untuk menghantar secara rasmi laporan bedah siasat,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop.

Mengulas mengenai tindakan saman sivil oleh keluarga mangsa, Huzir menegaskan perkara itu hanya membabitkan pihak keluarga dan pusat peranginan berkenaan.

“Saya ingin menegaskan di sini bahawa Urusetia Ketua Polis Negara (KPN) Bahagian Antarabangsa juga ada berhubung dengan keluarga mangsa dan peguam mereka di United Kingdom.

“Justeru kita tidak perlulah menjawab kepada (dakwaan) media di UK, jadi kita akan maklumkan melalui pihak Urusetia KPN Bukit Aman kepada ahli keluarga,” katanya.

BH sebelum ini melaporkan ibu bapa Nora Anne mengemukakan saman terhadap pengendali The Dusun Resort yang menjadi lokasi penginapan mangsa sekeluarga ketika becuti di Pantai, di sini, tahun lalu.

Melalui tuntutan itu, mereka mendakwa pengendali resort gagal memastikan keselamatan premis, tidak memasang kamera keselamatan dan tidak menyelenggara serta memastikan keupayaan selak pintu bilik penginapan.

Berita Harian X