Isnin, 13 Januari 2020 | 10:37am
DUA lelaki ditahan dalam operasi dijalankan Pejabat Agama Daerah Baling, ketika sedang leka membeli nombor ramalan di Pekan Kuala Ketil, semalam. - Foto ihsan Pejabat Agama
DUA lelaki ditahan dalam operasi dijalankan Pejabat Agama Daerah Baling, ketika sedang leka membeli nombor ramalan di Pekan Kuala Ketil, semalam. - Foto ihsan Pejabat Agama

Ditahan beli nombor ekor

BALING: Dua lelaki ditahan dalam operasi dijalankan Pejabat Agama Daerah Baling, ketika sedang leka membeli nombor ramalan di Pekan Kuala Ketil, dekat sini, jam 3 petang, semalam.

Pegawai Agama Daerah Baling, Sheikh Mohd Haizan Hamzah berkata, lelaki berusia 59 dan 38 tahun itu ditahan dalam operasi diketuai Penolong Pegawai Agama Baling, Sheikh Mohd Rasydan A Rahman bersama lima anggota penguat kuasa.

“Kedua-dua lelaki Melayu itu cuba melarikan diri, tetapi berjaya ditahan anggota penguat kuasa.

“Mereka ditahan mengikut Seksyen (16) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2014 kerana kesalahan berjudi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Haizan berkata, tiada sebarang sitaan barang, namun anggota penguat kuasa merampas satu resit rasmi kedai nombor ekor dan dua kertas yang ditulis nombor ingin dibeli.

Katanya, bagi kesalahan itu, mereka boleh didenda maksimum RM3,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

“Kedua-dua lelaki itu dibawa ke Balai Polis Kuala Ketil untuk laporan lanjut.

“Saya nasihatkan orang ramai supaya menjauhi perjudian walaupun mempunyai masalah kewangan kerana masalah tidak akan selesai dengan melakukan perkara haram,” katanya.

Berita Harian X