Selasa, 14 Januari 2020 | 9:00am
Pelaja lelaki dan perempuan Sekolah Menengah Agama Kerajaan Johor diberi rawatan kecemasan di Hospital Enche Besar Hajjah Kalsom Kluang. - Foto ihsan Pembaca
Pelaja lelaki dan perempuan Sekolah Menengah Agama Kerajaan Johor diberi rawatan kecemasan di Hospital Enche Besar Hajjah Kalsom Kluang. - Foto ihsan Pembaca

Mi goreng sarapan pagi disyaki punca keracunan pelajar

JOHOR BAHRU: Pejabat Kesihatan Daerah sedang menyiasat sampel mi goreng disediakan asrama Sekolah Menengah Agama (SMA) Kerajaan Johor yang dipercayai menjadi punca 120 pelajar sekolah berkenaan mengalami keracunan makanan pagi semalam.

Pengarah Kesihatan Johor, Dr Aman Rabu, berkata mi goreng yang dihidangkan untuk sarapan pelajar disyaki menjadi punca keracunan makanan.

“Siasatan lanjut masih dilakukan oleh Pejabat Kesihatan Daerah bagi mengenalpasti punca sebenar keracunan makanan ini.

“Sampel klinikal daripada kes persekitaran dan pengendali sudah dihantar ke makmal untuk analisis selain pemeriksaan terhadap dapur dewan asrama juga dijalankan oleh Unit Keselamatan dan Kualiti Makanan PKD Kluang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam media melaporkan 120 pelajar sekolah berkenaan diberikan rawatan kecemasan selepas mengadu sakit perut dan muntah-muntah ketika sesi pembelajaran kira-kira jam 10 pagi.

Siasatan lanjut oleh PKD Kluang mendapati terdapat 120 kes daripada sejumlah 474 pelajar yang terdedah mengalami gejala sakit perut, cirit-birit, loya, muntah, sakit kepala dan demam.

Kesemua 120 kes berada dalam keadaan stabil dan hanya dirawat sebagai pesakit luar. Tiada kes yang dimasukkan ke wad.

Sementara itu, Dr Aman berkata penutupan sementara dapur asrama juga dibuat di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 untuk tujuan nyah kuman premis dan siasatan lanjut.

“Pendidikan kesihatan sudah diberikan kepada pengetua sekolah, guru-guru dan pelajar di sekolah berkenaan.

“Semua pelajar dinasihat mengamalkan langkah lihat, hidu, dan rasa sebelum makan untuk mengelakkan keracunan makanan dan mengamalkan tahap kebersihan yang baik,” katanya.

Berita Harian X