Selasa, 14 Januari 2020 | 3:26pm
- Foto hiasan

Meninggal selepas latihan rentas desa

SUNGAI BESAR: Seorang bapa terkilan tidak dapat menunaikan permintaan anak bongsunya apabila remaja berusia 16 tahun itu meninggal dunia selepas menjalani latihan rentas desa, petang semalam.

Mohd Sarbaini Kamarul Baharin, 50, berkata anaknya, Muhammad Shaharif meminta untuk membeli kasut bola baharu pada malam Ahad lalu berikutan kasut milik abang remaja itu, Muhammad Ikhrwan, 18, yang dipinjamnya sebelum ini sudah koyak.

“Saya terkilan kerana tidak sempat menunaikan apa yang dihajatkan arwah dan permintaannya itu masih terngiang-ngiang di telinga hingga ke hari ini,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Pelajar Tingkatan Empat Sekolah Agama Menengah Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sungai Besar itu pengsan selepas menyertai latihan merentas desa, semalam dan disahkan meninggal dunia selepas dikejarkan ke Klinik Kesihatan Sungai Besar.

Dalam kejadian jam 4.15 petang, Allahyarham menjalani latihan sejauh 3.8 kilometer pengsan dalam kawasan sekolah.

Mohd Sarbaini yang menetap di Parit Lapan Barat berkata, anaknya itu juga sempat bersembang dengannya serta bergurau, tidak seperti sikap biasanya yang serius.

“Saya tanya arwah jika dia inginkan sesuatu, arwah tersenyum dan memaklumkan dia mahukan kasut bola baharu untuk digunakan ketika pemilihan bola sepak sekolahnya.

“Arwah anak yang aktif dalam sukan. Dia mewakili sekolahnya ke peringkat negeri dalam sukan kriket dan kami sekeluarga bangga dengan pencapaiannya,” katanya.

Mohd Sarbaini yang bekerja sebagai pengawal keselamatan sebuah sekolah rendah di daerah ini, berkata sebelum pengsan, Muhammad Shaharif sempat menamatkan latihan merentas desa dan menduduki tempat keempat.

“Kawan arwah memaklumkan saya, selepas selesai latihan (merentas desa), arwah terus mendapatkan air dan kemudian berbaring di beranda surau.

“Pada awalnya, kawan arwah ingat arwah terlalu penat, tetapi terkejut melihat arwah tidak sedarkan diri,” katanya.

Mohd Sarbaini berkata, beliau mengetahui kejadian itu selepas seorang guru Muhammad Shaharif menghubunginya dan memaklumkan anaknya pengsan selepas latihan rentas desa dan dibawa ke Klinik Kesihatan Sungai Besar.

Jenazah Muhammad Shaharif selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bagan Terap, jam 10.20 pagi tadi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd Alias, berkata hasil pemeriksaan pada mangsa mendapati tiada unsur jenayah dan laporan bedah siasat di Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam mengesahkan kematian sebagai mati mengejut.

Berita Harian X