Rabu, 15 Januari 2020 | 2:34pm

Kastam gagalkan cubaan seludup rokok

PELABUHAN KLANG: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Selangor mematahkan dua cubaan sindiket penyeludupan 19.15 juta batang rokok putih dalam dua serbuan, di Pelabuhan Utara, di sini.

Serbuan pada 7 dan 13 Januari lalu dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasaan JKDM selepas risikan selama dua minggu.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Datuk Zulkurnain Mohamed Yusuf, berkata rokok yang dianggarkan bernilai RM1.53 juta itu membabitkan cukai kira-kira RM12.5 juta.

Katanya, pada 7 Januari lalu, pihaknya menahan sebuah kontena apabila semakan terhadap Borang Kastam 1 (K1) mendapati kontena itu diikrar sebagai aksesori telefon bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

“Sebanyak 9.5 juta batang (47,500 karton) membabitkan nilai rampasan dianggarkan RM760,000 dengan jumlah duti atau cukai RM6.1 juta, dirampas dalam operasi itu,” katanya pada sidang media, di Pejabat Kastam Selangor Pelabuhan Utara (Zon Tengah) di sini, hari ini.

Zulkurnain berkata, penahanan itu membawa kepada rampasan kedua membabitkan sebanyak 9.65 juta batang (48,250 karton) rokok dengan nilai rampasan dianggarkan RM772,000 dengan jumlah duti atau cukai RM6.4 juta, di lokasi yang sama, Isnin lalu.

“Semakan terhadap K4 (Manifes Import) mendapati kontena itu diikrar sebagai muatan barangan campur seperti ‘Joss Paper’ (kertas untuk upacara sembahyang), aksesori telefon dan kasut,” katanya.

Beliau berkata, kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 133(1)(g) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 74(1)(e) Akta Eksais 1976.

“Dua ejen Kastam yang terbabit dalam pengimportan kontena bagi kes ini ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Zulkurnain berkata, pihaknya turut mematahkan cubaan menyeludup dua unit kenderaan ke Jepun dengan penahanan sebuah kontena, di Pelabuhan Barat, di sini awal Disember tahun lalu.

“Pemeriksaan mendapati dua unit kenderaan iaitu Toyota Hilux dan Toyota Fortuner dipercayai kenderaan curi dengan modus operandi sindiket mengikrarkan dagangan sebagai ‘Secondary Welded Pipe’ (paip) dalam Borang Kastam 2 (K2) yang digunakan untuk eksport bagi tujuan mengaburi mata pihak berkuasa.

“Nilai rampasan dua kenderaan terbabit dianggarkan bernilai RM300,000. Pengeksport dan ejen yang terbabit di dalam cubaan menyeludup keluar kenderaan itu sedang disiasat,” katanya.

Beliau berkata, kes ini disiasat mengikut Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967.

JKDM Selangor mematahkan dua cubaan sindiket penyeludupan 19.15 juta batang rokok putih dalam dua serbuan, di Pelabuhan Utara. - NSTP/Sairien Nafis
JKDM Selangor mematahkan dua cubaan sindiket penyeludupan 19.15 juta batang rokok putih dalam dua serbuan, di Pelabuhan Utara. - NSTP/Sairien Nafis
Berita Harian X