Khamis, 16 Januari 2020 | 1:11pm
Ratno (kanan) ketika ditemui di Markas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Tanjung Sedeli, semalam. - Foto Adnan Ibrahim

Wanita warga Indonesia dicabul tekong darat sebelum diseludup keluar

KOTA TINGGI: Seorang pembantu rumah warga Indonesia bernasib malang apabila dicabul kehormatannya oleh seorang tekong darat, yang sepatutnya menghantar mangsa ke tepi pantai Desaru untuk menyeludup keluar dari negara ini ke Indonesia, malam kelmarin.

Wanita dikenali sebagai Ratno, 28, mendakwa kejadian itu berlaku ketika dia sedang bersiap-siap bersama dua rakan senegaranya, sebelum didatangi seorang lelaki berusia lingkungan 50 tahun yang sepatutnya menghantar mereka ke tepi pantai.

Beliau mendakwa, lelaki berkenaan adalah tekong yang bertanggungjawab menguruskan perjalanan pulang mereka ke Indonesia selepas dua tahun bekerja sebagai pembantu rumah di negara ini.

“Pada mulanya, lelaki itu tidak berbuat apa-apa yang pelik tetapi saya mula sangsi apabila dia menyuruh dua rakan keluar dari bilik yang kami diami dengan alasan mahu berbincang sesuatu dengan saya.

“Sebaik dua rakan keluar, lelaki itu mula mencabul menyebabkan saya nekad menjerit sebelum seorang lagi tekong tampil menghalang perbuatannya itu,” katanya ketika ditemui di Markas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Tanjung Sedeli, semalam.

Ratno adalah seorang daripada 33 individu ditahan Maritim Malaysia Zon Tanjung Sedeli, ketika cuba keluar dan masuk ke negara ini di Pantai Desaru malam kelmarin.

Dia mendakwa, tidak puas hati dengan tindakannya menjerit ketika dicabul, lelaki itu bertindak menendang belakang badannya ketika turun dari kereta sebaik sampai ke tepi pantai Desaru itu.

“Saya langsung tidak menyangka, walaupun sudah membayar RM1,500 sebagai bayaran untuk perjalanan pulang, selain RM100 tambang daripada tempat penginapan di Johor Bahru serta RM250 selepas sampai ke Batam, mereka masih melakukan perbuatan tidak senonoh terhadap saya.

“Kejadian itu, membuatkan saya trauma dan berjanji tidak mengulanginya lagi selepas dibebaskan nanti jika ada peluang untuk datang semula ke negara ini,” katanya.

Ratno mendakwa, ketika memasuki negara ini kira-kira dua tahun lalu, dia menggunakan laluan sah di Stulang, namun pasportnya disimpan agensi menyebabkan dia menggunakan jalan tikus untuk kembali ke negara asal kerana tidak tahan ditindas termasuk gaji disekat pihak berkenaan.

Berita Harian X