Khamis, 16 Januari 2020 | 8:18pm
Sepasukan polis dari Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman tiba di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Putrajaya bagi mengambil keterangan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya berhubung sembilan rakaman audio. - NSTP/Noor Atiqah SulaimaN

Latheefa Koya, pegawai kanan SPRM selesai beri keterangan

PUTRAJAYA: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya, selesai memberi keterangan kepada polis selepas hampir empat jam, berkaitan sembilan rakaman audio yang didedahkan beliau pada 8 Januari lalu.

Menurut kenyataan SPRM, turut memberi keterangan ialah Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki serta lima pegawai lain.

Mereka memberi keterangan secara berasingan antara jam 2.45 petang hingga 6.30 petang.

Pasukan penyiasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) diketuai Superintendan Mohd Fazley Ab Rahman dari Unit Siasatan Jenayah Khas, Bukit Aman.

Pada 8 Januari lalu, SPRM mendedahkan nama 20 individu yang perbualan mereka dirakam, sama ada terbabit dalam perbualan atau disebut mengenai skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International Sdn Bhd (SRC).

Senarai itu termasuk beberapa tokoh asing, diperoleh daripada sembilan set rakaman perbualan selama 45 minit yang diperdengarkan SPRM pada satu sidang media.

Semua rakaman percakapan yang didedahkan itu berlaku antara 5 Januari hingga 29 Julai 2016, diperoleh SPRM awal tahun ini daripada entiti tidak didedahkan, malah agensi antirasuah berkenaan menaruh keyakinan rakaman terbabit adalah tulen.

Terdahulu, seramai 10 pegawai polis tiba di Ibu Pejabat SPRM di sini, pada jam 2.30 petang tadi, bagi merakamkan keterangan berhubung pendedahan audio berkenaan.

Semua pegawai polis berkenaan tiba di SPRM secara berasingan menaiki kenderaan Proton Preve pada jam 2.30 petang tadi.

Berita Harian X