Ahad, 19 Januari 2020 | 9:01pm
Mohamed Sabarudin Mohamed Ali, 58, bapa kepada mangsa dikhuatiri lemas Muhamad Luqman Hakim Al Rashid (gambar kecil) ketika berada di lokasi kejadian di Pantai Teluk Bidara. - Foto BERNAMA
Mohamed Sabarudin Mohamed Ali, 58, bapa kepada mangsa dikhuatiri lemas Muhamad Luqman Hakim Al Rashid (gambar kecil) ketika berada di lokasi kejadian di Pantai Teluk Bidara. - Foto BERNAMA

Tragedi Pantai Teluk Bidara: Keluarga reda 'pemergian' mangsa

DUNGUN: “Itu memang mayat adik saya kerana dia ada tanda lahir di pinggul serta seluar yang dipakainya itu adalah seluar saya,” kata Mohamad Shafiq Mohamed Sabarudin, 29.

Mohamad Shafiq adalah abang kepada Mohamad Luqman Hakim Al Rashid, 21, mangsa ketiga yang ditemui daripada empat pelajar Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) yang lemas di Pantai Teluk Bidara di sini, Jumaat lalu.

Mayat Mohamad Luqman Hakim Al Rashid dari Kuantan ditemui pasukan mencari dan menyelamat, jam 12.10 tengah hari tadi kira-kira 10 kilometer dari tempat kejadian.

Mohamad Shafiq yang ditemui di Hospital Dungun berkata, jenazah adiknya itu dikafan dan dimandikan di Bilik Forensik sebelum dibawa untuk dikebumikan di kampung neneknya di Panchor Kuala Dong, Raub.

Suasana sedih dan hiba menyelubungi pekarangan Unit Forensik Hospital Dungun petang tadi apabila ahli keluarga empat pelajar PSMZA yang lemas membuat pengecaman mangsa.

Bagi Maznah Muda, 54, ibu kepada Muhammad Zul Fahmi Zuki, 21, naluri keibuan membolehkannya mengenal pasti jasad anaknya menerusi parut di badan walaupun ketika ditemui jam 7.35 pagi, wajah mangsa ditutup oleh pasukan penyelamat.

“Sebaik dibenarkan melihat wajahnya, saya tidak dapat menahan air mata. Begitupun, saya bersyukur kerana penantian sejak Jumaat lalu akhirnya terjawab. Walaupun hanya jasad kaku yang pulang, dapat juga saya mengucupnya untuk kali terakhir melepas rindu,” katanya.

Mayat Muhammad Zul Fahmi dari Kemaman, yang pertama dijumpai manakala mayat kedua, Muhammad Ikhwan Ahmad Azhan dari Kuala Terengganu, ditemui pada jam 11.35 pagi oleh sekumpulan nelayan di Teluk Lipat, kira-kira lapan kilometer dari lokasi kejadian.

Mayat Muhamad Luqman Al Rashid ditemui jam 12.10 tengah hari dan mayat terakhir, Mohamad Amir Izzudin Zulkiflee ditemui terapung kira-kira dua batu nautika dari Pantai Teluk Bidara, jam 3 petang.

Mohamad Amir Izzudin dari Air Keroh, Melaka, ialah atlet silat olahraga negeri itu.

Bagi Mohamed Sabarudin Mohd Ali, 58, bapa kepada Muhammad Luqman Hakim Al Rashid, beliau bersyukur dengan penemuan anak bongsu daripada empat beradik itu.

“Saya reda, ...dah sampai masa dia ‘pergi’. Pengecaman dibuat oleh abangnya, Mohamad Shafiq, berdasarkan tanda parut pada badan dan seluar yang dipakai.

“Saya berterima kasih kepada pasukan penyelamat yang bertungkus-lumus dalam operasi mencari dan menyelamat, begitu juga semua doa rakyat Malaysia, saya hargainya,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang Jumaat lalu, semua mangsa yang berumur 21 tahun dikatakan mandi di kawasan berbatu dan tergelincir, sebelum dipercayai ditarik ombak.

Sementara itu, bagi Mat Razali Hassan, 60, penduduk Kampung Sura di sini, kehadiran sekumpulan burung camar di tengah laut kawasan Pantai Sura Tengah adalah seperti isyarat mayat pelajar politeknik berkenaan akan ditemui.

Katanya, kemunculan kumpulan burung itu disedari selepas penemuan mayat pertama, Muhamad Zul Fahmi Zuki, 21, yang ditemui terdampar di pantai itu, jam 7.30 pagi.

"Tindakan burung berkenaan seolah-olah mahu memaklumkan bahawa mayat mangsa ada di situ,” katanya sambil menjelaskan laut di kawasan rumahnya kerap berlaku kejadian lemas.

"Saya kerap memarahi budak-budak sekiranya mereka bermain atau mandi di tepi pantai terutama jika tanpa pengawasan orang dewasa," katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X