Isnin, 20 Januari 2020 | 12:07pm
TIN berisi artemia ditemui dalam but kereta dipandu seorang lelaki ketika cuba melepasi pemeriksaan di ICQS Bukit Kayu Hitam, malam tadi. - Ihsan MAQIS
TIN berisi artemia ditemui dalam but kereta dipandu seorang lelaki ketika cuba melepasi pemeriksaan di ICQS Bukit Kayu Hitam, malam tadi. - Ihsan MAQIS
SEJUMLAH 59 tin berisi artemia yang dirampas MAQIS dalam pemeriksaan di ICQS Bukit Kayu Hitam, malam tadi. - Ihsan MAQIS
SEJUMLAH 59 tin berisi artemia yang dirampas MAQIS dalam pemeriksaan di ICQS Bukit Kayu Hitam, malam tadi. - Ihsan MAQIS

MAQIS gagalkan cubaan seludup artemia dari Thailand

BUKIT KAYU HITAM: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) menggagalkan cubaan membawa masuk artemia, iaitu sejenis plankton untuk makanan udang dari Thailand ke negara ini, secara haram di sini, malam tadi.

Pengarah MAQIS negeri, Lily Roslind, berkata rampasan dilakukan jam 8.30 malam susulan pemeriksaan dilakukan pihaknya ke atas sebuah kereta jenis Toyota Vios dipandu seorang lelaki berusia lingkungan 30-an di Kompleks Imigresen, Kastam Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di sini.

“Hasil pemeriksaan, kita menemui 59 tin berisi artemia dalam but belakang kereta. Siasatan lanjut mendapati semua barangan itu dibawa tanpa dokumen sah seperti permit import dan lesen pengimportan di bawah Akta Makanan Haiwan 2009.

“Semua produk terbabit dengan nilai anggaran RM800 dirampas untuk tindakan lanjut, bagaimanapun tiada tangkapan dilakukan,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Lily berkata, perbuatan mengimport keluaran perikanan tanpa permit sah dikeluarkan MAQIS menjadi suatu kesalahan di bawah Sekyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) dan boleh dihukum mengiku Seksyen 11(3) akta sama.

Beliau berkata, bagi kesalahan itu denda tidak melebihi RM100,000 boleh dikenakan atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali.

“Semua artemia yang dirampas dalam kes ini akan dilupuskan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

“Akta 728 diguna pakai bagi memastikan kawalan penyakit haiwan, ikan, tumbuhan dan jaminan keselamatan makanan mematuhi aspek kesihatan manusia, serta dapat mengawal kemasukan perosak merbahaya yang boleh mengancam industri pertanian negara,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X