Jumaat, 24 Januari 2020 | 11:46pm
Lelaki (kanan) yang disyaki menyebabkan kebakaran tapak pelupusan sampah Semeling ditahan ketika sedang melakukan pembakaran di kawasan terbabit. - NSTP/Ihsan Pembaca

Lelaki punca kebakaran tapak pelupusan ditahan

SUNGAI PETANI: Seorang lelaki yang disyaki menyebabkan kebakaran tapak pelupusan sampah Semeling, dekat sini, pada Isnin lalu ditahan hari ini ketika sedang melakukan pembakaran di kawasan terbabit.

Suspek berusia 35 tahun itu dikatakan melakukan perbuatan itu bagi mendapatkan tembaga yang terdapat pada wayar daripada sampah yang berada di situ.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah, berkata kehadiran suspek disedari oleh pasukan bomba ketika sedang menjalankan operasi pemadaman kebakaran yang masih berlaku sehingga hari ini.

“Pihak bomba memaklumkan perkara itu kepada pengurusan tapak pelupusan sampah sebelum suspek ditahan dan diserahkan kepada polis.

“Lelaki terbabit ditahan bersama beberapa kilogram tembaga yang diperoleh hasil daripada pembakaran yang dilakukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Adzli berkata, siasatan awal mendapati suspek mengaku melakukan perbuatan sama pada Isnin lalu sehingga menyebabkan kebakaran merebak.

Beliau berkata, ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis morfin.

“Siasatan di lokasi kejadian mendapati kawasan terbabit tidak berpagar dan tiada kamera litar tertutup (CCTV), tetapi mempunyai papan tanda amaran bagi aktiviti pencerobohan.

“Suspek direman untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan dan 29A Akta Alam Sekeliling,” katanya.

Berita Harian X