Isnin, 27 Januari 2020 | 7:45pm

Sembunyi dadah bernilai RM1 juta dalam timbunan tanah

MUAR: Taktik menyembunyikan dadah dipercayai jenis syabu bernilai kira-kira RM1 juta di dalam timbunan tanah untuk mengaburi mata pihak berkuasa akhirnya tumpas dengan tertangkapnya tiga warga Indonesia ketika serbuan Ops Landai di Bukit Pasir, Sabtu lalu.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Dua, ACP Abdul Rahman Mohamad, berkata ketiga-tiga suspek berusia lingkungan 20 hingga 56 tahun itu ditahan oleh pasukan polis Unit Risikan Marin bersama anggota Bot Ronda RH 30 di sebuah pondok di kawasan kebun getah, kira-kira 7 pagi.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek menjadikan pondok itu tempat berehat dan pemeriksaan lanjut di sekitar kawasan berkenaan, pihak polis menemukan kesan timbunan tanah mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan mendapati polis menemukan bungkusan berisi dadah disyaki jenis syabu seberat 20,000 gram pada timbunan tanah di bawah pondok yang dijadikan tempat berehat.

“Saringan awal ujian air kencing tiga suspek itu menunjukkan positif dadah jenis methamphetamine. Mereka kini ditahan reman sehingga 8 Feb bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Muar, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, pihak polis turut menahan seorang lelaki tempatan dalam sekatan jalan raya sempena Tahun Baharu Cina, Sabtu lalu, di Jalan Bakri selepas didapati membawa senjata api, peluru, senjata berbahaya dan dadah.

Ketua Polis Daerah Muar ACP Zaharudin Rasip, berkata dalam kejadian kira-kira 3 pagi itu, sepasukan polis trafik Muar sedang menjalankan tugas dan menahan kenderaan jenis Toyata Vios dipandu suspek berusia 25 tahun itu yang berada dalam keadaan mencurigakan.

“Hasil siasatan pihak polis menemukan sepucuk pistol berserta beberapa butir peluru, dadah disyaki jenis heroin seberat 19.04 gram, 10 biji pil, dadah jenis eramin 5 dan lima biji pil yaba yang disimpan dalam beg dan disorokkan di bawah tempat duduk pemandu, selain sebilah pedang samurai.

“Individu itu tidak mempunyai rekod lampau dan ujian saringan awal air kencing adalah negatif, suspek juga ditahan reman tujuh hari hingga 31 Januari bagi membantu siasatan,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960, Seksyen 7(1) Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 serta Seksyen 39B, ADB 1952. - BERNAMA

Berita Harian X