Selasa, 28 Januari 2020 | 4:55pm
PEGUAM kepada Setiausaha Politik Datuk Seri Anwar Ibrahim, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, Kumar Thangaraju hadir pada pengurusan kes saman fitnah terhadap bekas penyelidik Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Muhammad Yusoff Rawther di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. NSTP/Saifullizan Tamadi
PEGUAM kepada Setiausaha Politik Datuk Seri Anwar Ibrahim, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, Kumar Thangaraju hadir pada pengurusan kes saman fitnah terhadap bekas penyelidik Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Muhammad Yusoff Rawther di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. NSTP/Saifullizan Tamadi

Farhash saman Yusoff, dakwa difitnah

KUALA LUMPUR: Setiausaha Politik Datuk Seri Anwar Ibrahim, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, mengemukakan saman terhadap Muhammad Yusoff Rawther kerana mendakwa bekas pegawai penyelidik PKR itu memfitnahnya pada satu sidang media tahun lalu.

Ia berhubung dakwaan Muhammad Yusoff pada sidang media 4 Disember tahun lalu berhubung insiden dipukul pada 16 Mei tahun sama di pejabat PKR.

Farhash selaku plaintif memfailkan writ saman dan pernyataan tuntutannya pada Jumaat lalu melalui firma guaman Tetuan Kumar Thangaraju & Co dan hari ini ditetapkan bagi pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Rumaizah Baharom.

Menurut peguam Farhash, T Kumar, ketika ditemui pemberita berkata pihaknya belum menyerahkan writ saman kepada Muhammad Yusoff yang dinamakan selaku defendan.

Dalam pernyataan tuntutan, Farhash berkata, rakaman sidang media itu dimasukkan ke dalam akaun Facebook yang dinamakan ‘Solidariti Buat Muhammed Yusoff Rawter’.

Farhash yang juga Pengerusi PKR Perak berkata, video itu kemudian diedarkan secara meluas melalui media sosial.

Menurutnya, kenyataan fitnah itu antara lain membawa maksud bahawa beliau seorang yang ganas, bertindak liar, tidak mempunyai dekorum ketika berada di dalam pejabat, keji dan kejam.

Katanya lagi, kenyataan itu dikeluarkan dengan niat jahat oleh defendan untuk menjejaskan imej dan reputasinya sebagai seorang ahli politik PKR dalam kalangan umum.

“Saya melalui peguam pada 30 Disember tahun lalu, menghantar notis tuntutan kepada defendan antara lain bagi menuntut penarikan balik kata-kata terbabit.

“Pada 31 Disember, defendan menjawab notis tuntutan melalui peguamnya yang menafikan dakwaan dalam notis tuntutan yang dihantar saya.

“Sehingga kini defendan gagal untuk mematuhi notis tuntutan saya dan video berkenaan masih boleh diakses kepada umum,” katanya.

Sehubungan itu, Farhash memohon perintah injunksi menghalang Muhammad Yusoffdaripada terus menerbitkan kata-kata fitnah itu, ganti rugi am, teruk, teladan, kos, faedah dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X